AMK Hang Tuah Jaya kecam kenyataan fitnah terhadap pemimpin PKR

Ezal Abdul Qaiyum
Ezal Abdul Qaiyum
A
A
A

MELAKA – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Hang Tuah Jaya menyatakan kekecewaan terhadap tindakan seorang ahli UMNO di salah sebuah cawangan di negeri ini kerana membuat kenyataan berunsur fitnah terhadap beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ketua Penerangannya, Ezal Abdul Qaiyum Zamri berkata, berdasarkan video tular, individu terbabit didakwa menuduh Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai perosak kepada generasi terdahulu.

Malah, menurutnya, individu terbabit turut membuat tuduhan palsu bahawa Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abdul Halim, tidak menamatkan pengajiannya di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

“Kenyataan ini adalah berniat jahat dan tidak berlandaskan fakta.

“Ia bukan sahaja merupakan fitnah jahat, tetapi mencerminkan mentaliti politik usang yang memecah-belahkan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, beliau kesal dengan kenyataan-kenyataan tidak bertanggungjawab itu dan menegaskan bahawa keharmonian Kerajaan Perpaduan tidak sepatutnya digugat hanya kerana rasa tidak puas hati politik.

Ujarnya, rakyat telah penat dengan mainan politik sempit serta tohmahan tidak berasas, dan pihak berkenaan seharusnya menunjukkan kematangan dalam berpolitik.

“Utamakan kesejahteraan rakyat dan hentikan budaya menyebar fitnah yang hanya merosakkan perpaduan,” ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman yang didakwa memaparkan kenyataan individu berkenaan yang dibuat semasa satu mesyuarat UMNO cawangan pada minggu lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!