Persembahan hambar United dikecam peminat

United meneruskan rentak kurang memuaskan mereka tewas kepada ASEAN All-Stars dalam aksi Piala Cabaran Maybank. Foto SINAR HARIAN - MOHD HALIM ABDUL WAHID
United meneruskan rentak kurang memuaskan mereka tewas kepada ASEAN All-Stars dalam aksi Piala Cabaran Maybank. Foto SINAR HARIAN - MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

MANCHESTER United dikejutkan dengan kekalahan memalukan 0-1 kepada pasukan pilihan ASEAN All-Stars dalam aksi Piala Cabaran Maybank yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Rabu.

Lebih mengejutkan, skuad bintang United yang menurunkan pemain utama seperti Bruno Fernandes, Amad Diallo, Harry Maguire, Andre Onana dan Alejandro Garnacho gagal menembusi gawang lawan sepanjang 90 minit permainan.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh pemain Myanmar, Mg Mg Lwin, sekali gus menghadiahkan trofi kepada pasukan gabungan Asia Tenggara tersebut.

Kekalahan itu hadir hanya tiga hari selepas United menamatkan musim dengan keputusan mengecewakan di tangga ke-15 liga kedudukan terburuk mereka sejak tersingkir pada tahun 1974, dan kali kedua dalam 35 tahun gagal layak ke kejohanan Eropah.

Rata-rata penyokong Red Devils meluahkan rasa tidak puas hati dan mengecam prestasi hambar pasukan di laman media sosial.

“Serius kalah? Macam mana boleh jadi macam ni?” kata seorang pengguna di platform X.

“Memalukan,” kata seorang lagi penyokong.

“Kalah pun tak ada siapa tengok,” tulis seorang penyokong Arsenal dengan nada menyindir.

“Bayangkan datang jauh ke Malaysia semata-mata nak kalah,” usik penyokong Liverpool.

Artikel Berkaitan:

United sebelum ini menamatkan musim liga dengan kemenangan 2-0 ke atas Aston Villa sebelum terus berlepas ke Kuala Lumpur untuk aksi persahabatan ini.

Namun, lawatan ini turut dihimpit spekulasi masa depan beberapa tonggak utama pasukan. Garnacho yang hanya masuk sebagai pemain gantian, sebelum ini dimaklumkan oleh pengendali Ruben Amorim bahawa dia perlu 'berdoa' agar dapat mencari kelab baharu.

Dalam masa sama, ejen Marcus Rashford dilaporkan telah mengadakan pertemuan dengan pengurusan Barcelona berhubung potensi perpindahan musim panas ini.

Manchester United dijadualkan menamatkan siri jelajah Asia mereka dengan perlawanan menentang pasukan kebangsaan Hong Kong di Stadium Hong Kong yang berkapasiti 40,000 penonton.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!