Bayi sebulan maut diterkam anjing peliharaan keluarga

NEW YORK – Seorang bayi perempuan berusia sebulan maut dalam kejadian menyayat hati apabila diserang dan diterkam oleh anjing peliharaan keluarganya sendiri ketika sedang tidur bersama ibu dan bapa tirinya di sebuah apartmen di Queens, awal pagi Selasa.
Menurut laporan CBS News, insiden tragis itu berlaku sekitar jam 6.30 pagi waktu tempatan di sebuah kediaman di Jalan 12, Long Island City.
Bayi malang tersebut dilaporkan sedang tidur di tengah-tengah ibu dan bapa tirinya apabila anjing peliharaan keluarga, yang merupakan baka kacukan German Shepherd dan Pit Bull berusia enam bulan, tiba-tiba bertindak ganas.
Ibu mangsa memaklumkan kepada pihak berkuasa bahawa bayi itu sedang lena tidur ketika anjing itu bertukar agresif dan menyerang secara tiba-tiba tanpa sebarang provokasi.
Kejadian mengejutkan itu turut mengundang reaksi sedih daripada jiran tetangga yang menyifatkan kawasan berkenaan sebagai mesra haiwan peliharaan, serta dihuni ramai pemilik anjing yang biasanya jinak dan suka bermain.
“Sebagai seorang ibu kepada tiga orang anak, saya sangat sedih. Sebagai ibu bapa, kita tak pernah terfikir haiwan peliharaan sendiri boleh mencederakan anak kita,” kata jiran bernama Maria Gutierrez kepada CBS News.
Anjing terbabit kini telah diserahkan kepada pihak Kawalan Haiwan untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, polis New York (NYPD) memaklumkan bahawa ibu bapa mangsa sedang disoal siasat, namun setakat ini tiada sebarang pertuduhan dikenakan. Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian tragik itu. -Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

