Perodua Alza terbakar di KLIA 2

Keadaan kenderaan Perodua Alza yang terbakar dalam kejadian di KLIA 2 pada Selasa.
Keadaan kenderaan Perodua Alza yang terbakar dalam kejadian di KLIA 2 pada Selasa.
A
A
A

SEPANG – Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza terbakar di Aras 3, Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) pada Selasa.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari’at berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.20 pagi itu, pemandu kenderaan bertindak pantas memadamkan kebakaran dengan menggunakan alat pemadam api yang disediakan di kawasan terminal.

“Beberapa orang awam turut tampil membantu dengan menggunakan pili bomba berhampiran untuk memadamkan api,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Azman berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA tiba di lokasi kejadian dan memastikan api dipadamkan sepenuhnya serta kawasan berada dalam keadaan selamat.

“Pengadu telah membuat laporan polis berkaitan insiden tersebut. Siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai bersifat kemalangan dan puncanya masih dalam siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Kita juga sedang menyiasat sama ada wujud sebarang unsur khianat atau jenayah dalam kebakaran itu,” katanya.

Beliau berkata, kebakaran tersebut tidak melibatkan mana-mana premis di KLIA2 dan tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan dalam kejadian itu.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden ini. Operasi di Terminal 2 KLIA berjalan seperti biasa.

“Pemilik kenderaan juga disarankan untuk sentiasa memastikan aspek penyelenggaraan dilakukan dengan baik bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan insiden itu pada jam 9.19 pagi.

“Seramai enam anggota dan pegawai dari BBP KLIA bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira lima kilometer dari balai,” katanya.

Ahmad Mukhlis berkata, sebaik tiba di lokasi kira-kira jam 9.25 pagi, pihaknya mendapati sebuah kenderaan Perodua Alza terbakar sebanyak 40 peratus dan kebakaran tidak melibatkan sebarang mangsa manakala api berjaya dipadamkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!