Kerjasama PDRM, media perkukuh keselamatan dan keharmonian negara - KPN

Razarudin (tengah) dan pegawai kanannya bergambar bersama petugas media selepas Majlis Apresiasi Ketua Polis Negara di Bukit Aman, pada Isnin.
Razarudin (tengah) dan pegawai kanannya bergambar bersama petugas media selepas Majlis Apresiasi Ketua Polis Negara di Bukit Aman, pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Media massa menjadi entiti penting yang berperanan besar dalam menterjemahkan usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) memartabatkan keluhuran perlembagaan serta menguatkuasakan undang-undang secara adil kepada segenap lapisan masyarakat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pengamal media atas kerjasama berterusan dalam menyampaikan maklumat tepat dan sahih kepada masyarakat sekali gus memperkukuh keselamatan serta keharmonian negara.

Menurutnya, hubungan kerjasama yang utuh antara PDRM dan media berteraskan tanggungjawab bersama dalam menyampaikan informasi yang tepat dan telus demi menegakkan keadilan dalam apa jua keadaan.

“Media mempunyai ‘kuasa unik’ yang mampu mempengaruhi pemikiran serta memenangi hati masyarakat, menjadikan mereka rakan strategik dalam usaha memperkukuh keselamatan dan mengekang pengaruh negatif.

"PDRM sentiasa mengiktiraf media sebagai penyampai maklumat dan suara rakyat, malah turut melihat mereka sebagai ‘pemerhati’ yang mampu memberi pandangan serta cadangan penambahbaikan terhadap sistem penyampaian perkhidmatan PDRM,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Apresiasi Ketua Polis Negara bersama Media di Bukit Aman di sini pada Isnin.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Dalam majlis itu, dua wartawan Meja Jenayah Sinar Harian, Muhammad Afham Ramli dan Ahmad Ismadi Ismail antara petugas media yang menerima sijil penghargaan daripada Razarudin.

Beliau berkata, penugasan warga polis dan pengamal media berpaksikan kepada kepentingan keselamatan negara, keharmonian kaum serta perpaduan nasional secara inklusif.

Justeru, kata Razarudin, penyaluran maklumat haruslah selaras dengan keperluan, hak asasi serta kepentingan masyarakat agar kita terus diyakini dan relevan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Razarudin turut menyatakan komitmen pihaknya untuk memperkukuh sinergi dengan pihak media, sejajar dengan semangat Dasar Madani yang mendukung nilai hormat, ihsan, keterangkuman dan kesaksamaan dalam membangunkan negara yang mampan.

“PDRM terus mengambil pendekatan pragmatik dalam memperkukuh hubungan bersama media, sesuai dengan tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!