'Fei-Din' bakal naik takhta nombor 1 dunia

Sze Fei (kiri) dan Nur Izzuddin perlu konsisten dengan pencapaian terbaik untuk kekal nombor satu dunia. Foto Bernama.
Sze Fei (kiri) dan Nur Izzuddin perlu konsisten dengan pencapaian terbaik untuk kekal nombor satu dunia. Foto Bernama.
A
A
A

BIARPUN tersingkir di peringkat suku akhir Malaysia Masters 2025, namun ia tidak menghalang beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani bakal bergelar pasangan nombor satu dunia.

Ia bagi menggantikan kedudukan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen yang tergelincir ke tangga kedua.

Pasangan Denmark itu terlepas status tersebut selepas tewas kepada beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam saingan separuh akhir Malaysia Masters pada Sabtu.

Keputusan pada kejohanan berstatus Super 500 itu menyaksikan Sze Fei-Nur Izzuddin kekal dengan 91,090 mata setelah meraih pencapaian sama edisi lalu tersekat dalam kelompok lapan terbaik.

Astrup-Rasmussen yang merupakan juara bertahan sebelum ini mengumpul 93191 mata, namun berdepan pemotongan sebanyak 2780 menjadikan mata jatuh kepada 90411.

Aaron-Wooi Yik pula kekal dengan status ketiga dunia menerusi 83,170 mata, namun juara Terbuka Thailand itu berpeluang merapatkan jurang mata andai meraih gelaran Malaysia Masters pada Ahad.

Sze Fei-Nur Izzuddin tersingkir daripada saingan suku akhir selepas tumpas di tangan rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun 19-21, 21-7, 21-16.

Kedudukan rasmi ranking tersebut akan dikemaskini oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Selasa ini.

Goh V Shem-Tan Wee Kiong adalah pasangan Malaysia terakhir yang menduduki tempat teratas antara 10 November 2016 dan 16 Mac 2017.

Artikel Berkaitan:

Pencapaian tersebut dijangka membakar semangat Sze Fei-Nur Izzuddin yang mesra disapa 'Fei-Din' untuk mengharungi saingan Terbuka Singapura bermula Selasa ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!