‘Arwah ayah pesan jaga adik-adik’

MAKKAH – Pesanan terakhir arwah bapa supaya menjaga adik-adiknya dengan baik dan tidak berpecah-belah menjadi pegangan buat seorang pesara kerajaan yang berpeluang menunaikan haji bersama empat daripada tujuh adiknya tahun ini.
Hashim Awang, 69, berkata, sebelum meninggal dunia, bapanya, Awang Jusoh meninggalkan amanah supaya dia menjaga keluarga termasuk enam adik hasil perkahwinan bersama ibu tirinya.

“Ibu saya meninggal ketika usia saya lima tahun manakala adik berusia tiga tahun. Selepas ayah berkahwin lain saya dapat enam lagi adik.
“Sebelum ayah meninggal pada tahun 1987, dia selalu pesan jaga adik-adik. Amanah itu saya tunaikan dengan menjaga mereka dari kecil dan sentiasa bersama mereka meskipun sudah berusia,” katanya ketika ditemui pemberita di Abraj Al Janadriyah di sini.

Hashim berkata, dia bersyukur dapat menunaikan haji tahun ini bersama empat adiknya iaitu Hassan, 67; Endon, 61; Sidek, 54 dan Ismail, 51 bersama pasangan masing-masing.
Bapa kepada empat anak dan datuk kepada 10 cucu itu berkata, sebagai anak sulung, dia bukan sahaja berperanan sebagai seorang abang tetapi juga ayah dan juga rakan kepada adik-adiknya.
Setiap minggu katanya, semua adik-beradiknya akan berkumpul kerana mereka tinggal saling berdekatan.
“Kami berlima daftar haji sama-sama pada 4 Mei 2009 manakala tiga lagi adik terlambat daftar jadi mereka belum terima tawaran tunaikan haji.
“Saya syukur kerana kami semua dijemput oleh ALLAH SWT serentak. Alhamdulillah kami adik-beradik tidak berpecah, harapan saya supaya kami dapat haji yang mabrur,” katanya.

Sementara itu, adik kelimanya, Ismail berterima kasih kepada pihak Tabung Haji (TH) kerana menjemput mereka berlima bersama isteri masing-masing untuk mengerjakan haji tahun ini.
“Pada tahun 2009 saya minta semua adik beradik daftar haji pada hari atau bulan yang sama.
“Bila kakak ipar buat semakan dan beritahu nama dia dapat tawaran, kami semua terus semak nama dan Alhamdulillah semua dapat (tunai haji). Syukur sangat sebab tarikh penerbangan pergi balik dan hotel dapat tempat sama,” katanya.

Dalam pada itu Ismail turut memuji perkhidmatan TH yang didakwanya terbaik setakat ini.
“Sejak tiba di Madinah lagi kami adik-beradik dapati layanan Tabung Haji terbaik. Kita berpuas hati dari segi makan minum, pengangkutan, penginapan malah jadual aktiviti jemaah pun teratur.
“Kalau Tabung Haji nak tambah baik lagi baik tetapi setakat ini sudah terbaik. Adik-beradik saya pun tiada merungut-rungut dan sebagainya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

