Polis sahkan terima notis Himpunan Melayu Berdaulat Sabtu ini

KUALA LUMPUR - Polis telah menerima makluman mengenai hasrat sekumpulan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menganjurkan satu perhimpunan di ibu negara pada Sabtu ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, penganjur perhimpunan itu telah memberikan makluman berkenaan berdasarkan peruntukan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
"Pihak polis mengambil maklum pemakluman perhimpunan ini dan masih dalam proses perbincangan dengan pihak penganjur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan sekretariat gabungan NGO Malaysia menyasarkan lebih 15,000 orang bakal menyertai Himpunan Melayu Berdaulat yang akan diadakan di pekarangan Kompleks Sogo, di sini.
Turut dilaporkan himpunan itu dijadualkan bermula jam 2.30 petang dan bertujuan menyuarakan kepentingan orang Melayu-Islam yang didakwa semakin terhakis. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
