Cat Supermarket cipta rekod kembiri 202 kucing dalam 24 jam

MELAKA – Sebuah pasar raya kucing di Paya Rumput di sini membantu kira-kira 202 kucing jantan dengan melaksanakan program mengembiri secara percuma dalam tempoh 24 jam.
Pengarah Urusan Cat Supermarket, Datuk Chew Chert Fong berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang julung kali diadakan ini bertujuan membantu mengawal populasi kucing terutama kucing terbiar.
Menurutnya, ia sekali gus mengurangkan beban kewangan yang dipikul pusat perlindungan haiwan termasuk pemilik yang mempunyai bilangan haiwan jinak yang banyak.
"Sering kita lihat di kedai makan dan jalanan banyak kucing tiada pemilik dan adanya usaha ini dapat mengurangkan jumlah kucing terbiar.
"Lebih penting, usaha ini menjimatkan kos kerana dianggarkan kos mengembiri adalah RM200 bagi seekor kucing," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menerima sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) di Cat Supermarket, Jalan IKS Paya Rumput 1, di sini pada Rabu.
Terdahulu, program CSR itu turut menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR).
Jelasnya, program kolaborasi bersama jenama makanan haiwan antarabangsa, Brit Malaysia dan pasukan veterinar dari CS Vet Medical Centre berjaya memberi penjimatan keseluruhan sebanyak RM40,400.
Sementara itu, Dr Juliyana Abu Sari yang mengetuai pasukan veterinar berkata, proses berkenaan dilakukan secara berperingkat selepas ujian saringan kesihatan kucing dijalankan dengan bantuan lima doktor veterinar dan tujuh pembantu prosedur.
"Malah, 60 ekor kucing adalah dari tiga pusat perlindungan haiwan, manakala selebihnya merupakan kucing jalanan yang diselamatkan dan haiwan peliharaan individu," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!