Dua BBP jadi projek perintis AI pelan bangunan baharu

Othman (dua dari kanan) selepas merasmikan Seminar ILB di Klana Resort pada Rabu.
Othman (dua dari kanan) selepas merasmikan Seminar ILB di Klana Resort pada Rabu.
A
A
A

SEREMBAN - Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Johor dan BBP Kulim, Kedah dipilih menjadi lokasi perintis projek Kecerdasan Buatan (AI) bagi memproses pelan bangunan baharu.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Othman Abdullah, berkata pihaknya bekerjasama dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bagi mempercepatkan proses mendapatkan Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

Menurutnya, penggunaan AI akan mempercepatkan tempoh proses penilaian pelan bangunan yang sebelum ini dilakukan secara manual dan mengambil masa 14 hari untuk diselesaikan.

“Melalui penggunaan AI ini, prosesnya menjadi cepat, pantas dan berintegriti.

“Projek perintis AI memilih dua balai berkenaan untuk projek pelan yang tiada sistem kerana bangunan berskala kecil pada ketinggian dua atau empat tingkat.

“Projek semasa akan diperluaskan ke bangunan yang lebih besar pada masa depan,” katanya selepas merasmikan Seminar Badan Peneraju Industri (ILB) Bidang Kebombaan 2025 di Klana Resort di sini, pada Rabu.

Seramai 570 peserta mewakili syarikat dan industri menyertai seminar sehari itu.

Turut hadir, Pengarah JBPM Negeri Sembilan, Nor Ariffin Kamari.

Othman berkata, sesuatu pelan projek pembangunan memerlukan sokongan daripada agensi teknikal seperti JBPM sebelum melalui proses bagi mendapatkan sijil CCC dan dengan penggunaan AI akan mempermudahkan proses itu.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, menjadi hasrat JBPM untuk membantu memenuhi keperluan keselamatan industri yang semakin berkembang dan menjadi penghubung antara industri dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

“Setakat ini, aspek keselamatan kebakaran dan kebombaan industri berada pada tahap baik dan menjadi matlamat kita supaya industri kebombaan ini meningkat atau setaraf bersama-sama perkembangan AI,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!