Aqmal pertahan kejuaraan Janda Baik Ultra

Aqmal menyifatkan kejayaan di kampung halaman sendiri di Bentong sebagai amat bermakna. Foto Harimau.Run/KECiin.
Aqmal menyifatkan kejayaan di kampung halaman sendiri di Bentong sebagai amat bermakna. Foto Harimau.Run/KECiin.
A
A
A

JAGUH larian denai negara, Aqmal Adzmi membuktikan keunggulannya apabila berjaya mempertahankan gelaran juara 100 kilometer (km) dalam saingan Janda Baik Ultra 2025 yang menarik penyertaan hampir 2,000 peserta dari 19 negara di Bentong sepanjang hujung minggu lalu.

Aqmal mencatat masa 18 jam, 33 minit dan 54 saat (18:33:54) untuk muncul juara kategori 100km lelaki, menewaskan cabaran hebat pelari Jepun, Takio Fukumoto (18:57:53), manakala Zulhusni Ibrahim (19:55:14) melengkapkan kedudukan podium.

“Perlumbaan tahun ini jauh lebih mencabar dengan tambahan jarak, ketinggian dan keadaan laluan yang sukar akibat hujan.

“Namun, saya menikmati setiap saat dan menang sekali lagi di kampung halaman saya di Bentong menjadikan ia lebih bermakna,” katanya.

Aqmal yang mempunyai ahli keluarga di Janda Baik menyifatkan perlumbaan itu sebagai sesuatu yang bersifat peribadi dan berbangga apabila kampungnya menjadi tuan rumah acara lasak utama yang menonjolkan keindahan alam semula jadi kawasan tersebut.

“Rasa bangga kampung saya ada acara seperti ini. Ia benar-benar mengetengahkan apa yang Janda Baik tawarkan - kehijauan hutan, pemandangan menakjubkan dan laluan teknikal yang mencabar.

“Ramai pelari memberitahu saya ini mungkin antara perlumbaan larian denai paling sukar di Malaysia dan saya bersetuju,” ujarnya.

Aqmal turut mendedahkan bahawa Janda Baik Ultra merupakan perlumbaan keduanya tahun ini kerana beliau sedang mengatur jadual latihan dengan sebaiknya bagi persediaan ke Kejohanan Dunia Larian Gunung dan Denai di Sepanyol September depan.

Kemenangan istimewa Aqmal (kiri) selepas menerima hadiah dari pegawai perlumbaan, Nor Aznan di Janda Baik. Foto Siti Nurzulaikha.
Kemenangan istimewa Aqmal (kiri) selepas menerima hadiah dari pegawai perlumbaan, Nor Aznan di Janda Baik. Foto Siti Nurzulaikha.

Artikel Berkaitan:

“Saya cuba elak kecederaan dan membina prestasi terbaik menuju perlumbaan di Sepanyol. Ini kali kedua saya mewakili Malaysia di Kejohanan Dunia selepas bertanding di Austria pada 2023. Jadi saya mahu memberikan aksi terbaik,” tambahnya.

Bagi kategori 100km wanita, pelari Malaysia, Poo Lai Kuen menamatkan perlumbaan mencabar itu dengan masa 25:55:01, mengatasi Long Fengju dari China (26:57:44) dan Nor Shahirah Nasir (29:41:18).

Acara dua hari yang berlangsung di Cherengin Hills Convention and Spa Resort, Janda Baik itu turut menyaksikan persaingan hebat dalam kategori 75km, 50km, 30km, 14km dan 5km.

Saingan tersebut menampilkan gabungan pemandangan indah, cabaran ketinggian dan bentuk muka bumi yang tidak menentu.

Antara peserta yang mencuri tumpuan termasuk Yusof Abdul Manan (13:45:29) dan Chiew Mei Theng (18:56:48) dalam kategori 75km, serta Khairulamirin Kamarudin (7:31:57) dan Jenny Lem (10:56:41) dalam 50km.

Edisi tahun ini menerima sambutan luar biasa terutamanya dalam kategori 30km dan 14km yang terpaksa diadakan selama dua hari bagi menampung lonjakan penyertaan - petanda jelas minat yang semakin meningkat terhadap sukan larian denai di negara ini.

“Tenaga sepanjang dua hari acara ini memang luar biasa. Daripada pelari elit hingga peserta kali pertama, semua membawa semangat masing-masing ke bukit-bukau Janda Baik.

“Acara ini menjadi simbol keberanian menguji batas kemampuan diri - kerana akhirnya, satu-satunya penghalang adalah diri anda sendiri,” kata Pengarah Perlumbaan, Jeff Ooi dari Lumen Sports.

Menambah prestij Janda Baik Ultra, peserta turut mengumpul mata berharga untuk International Trail Running Association (ITRA) dan Ultra-Trail du Mont-Blanc (UTMB) Index.

Kutipan mata berkenaan penting untuk kedudukan global dan kelayakan ke perlumbaan peringkat elit antarabangsa.

Edisi kali ini turut mendapat sokongan Tourism Malaysia, Tourism Pahang, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang serta rakan penaja korporat termasuk Hoka, Rev Runnr, Suunto, Amino Vital dan N8 Sports Nutrition.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!