Final Piala Asia: Kemarau regu berpasukan berterusan

HASRAT skuad negara untuk mengakhiri kemarau 34 tahun acara regu berpasukan tidak kesampaian apabila tewas 0-2 kepada musuh tradisi Thailand dalam perlawanan akhir Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia Kuala Lumpur 2025 di Stadium Titiwangsa pada Ahad.
Kekalahan skuad negara dinoktahkan regu kedua yang dibarisi Muhammad Haziq Hairul Nizam sebagai tekong, Muhammad Noraizat Mohd Nordin (perejam) dan Farhan Adam (pengumpan).
Mereka akur dengan pengalaman permainan gelanggang regu kedua terbaik Thailand, Sittipong Kamchan selaku tekong, Tanaphon Sapyen (apit kanan) dan Sirisak Anuloon (apit kiri).
Regu kedua negara bermula baik apabila menang set pertama 15-13 sebelum lawan kembali menyamakan kedudukan 15-13 bagi mengheret permainan yang dimenangi skuad Gajah Putih itu dengan kemenangan 15-4.

Sebelum itu, trio negara, Mohammad Syahir Rosdi selaku tekong, Mohamad Azlan Alias sebagai apit kanan dan Amirul Zazwan Amir selaku apit kiri yang turun sebagai regu pertama tewas 1-2 dalam aksi yang penuh dramatik dan mendebarkan.
Regu pertama negara tunduk kepada kombinasi mantap Jakkrit Thinbangon, Sutthikart Panseankaew dan Nichakul Seehakai apabila tewas 15-11, 12-15, 17-15.
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia menjulang kejuaraan acara regu berpasukan adalah semasa temasya Sukan SEA Manila 1991.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
