Mayat pelajar UniSZA lemas dijumpai tersangkut di celah batu

SETIU – Mayat pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang dihanyutkan kepala air ketika berkelah bersama enam rakannya di Hutan Lipur Lata Payung, di sini, ditemukan malam Jumaat.
Mayat mangsa, Abed Mifzal Azman, 22, yang berasal dari Johor dijumpai pada jarak satu kilometer dari lokasi kejadian kira-kira jam 9.30 malam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu, Mohd Sarizan Mohammad Sapawi berkata, mangsa yang merupakan pelajar Tahun Satu jurusan Pentadbiran Perniagaan (Kewangan Islam) ditemukan penduduk kampung dalam keadaan tersangkut di celah batu.
"Anggota penyelamat mengambil masa sekitar 15 minit untuk mengangkat mayat menggunakan pengusung khas dari tebing setinggi kira-kira 2.5 meter.
"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd. Zain Mat Dris berkata, kawasan Lata Payung tidak selamat untuk sebarang aktiviti riadah buat masa ini memandangkan cuaca tidak menentu menyebabkan berlaku kejadian kepala air.
"Orang ramai dinasihatkan supaya elak melakukan aktiviti di sungai atau lata di Setiu buat sementara waktu ini kerana ia berisiko dan boleh mengancam keselamatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!