Perkasa acara pecut menuju Sukan Asia 2026

Beasley (kiri) melihat potensi Azizulhasni untuk mengetuai skuad pecut berbasikal negara. Foto Agensi
Beasley (kiri) melihat potensi Azizulhasni untuk mengetuai skuad pecut berbasikal negara. Foto Agensi
A
A
A

SKUAD berbasikal trek negara mahu meningkatkan fokus kepada acara pecut berpasukan selain keirin pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang berbaki 499 hari lagi.

Malah pasukan negara yang diketuai pelumba profesional, Datuk Azizulhasni Awang serta rakan sepasukan lain berada dalam mod bersedia untuk memburu pingat emas dalam acara tersebut.

Pengarah teknikal berbasikal kebangsaan, John Beasley menyatakan bahawa fokus Azizulhasni ke arah acara pecut berpasukan hingga temasya Asia itu berlangsung.

Beliau berkata, Kejohanan Dunia Santiago Oktober depan akan menjadi pentas pemanas badan dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) buat pelumba dari Terengganu itu pada musim ini.

“Azizulhasni akan jadi pelumba pertama (starter) untuk pecut berpasukan di Santiago nanti. Itu KPI utama beliau tahun ini.

“Saya yakin dia akan memecut, malah dia tahu tugasnya. Cuma sekarang, kita risau sama ada pelumba kedua dan ketiga mampu ikut rentak atau sebaliknya,” ujar Beasley.

Calon pelumba lain bagi skuad pecut ialah Ridwan Sahrom, Muhammad Fadhil Zonis, Akmal Nazimi Jusena serta Shah Firdaus Sahrom.

Mereka akan diberi peluang memburu tempat dalam pasukan yang menjadi medan ‘survival of the fittest’ demi satu misi - emas pertama dalam sejarah acara tersebut.

Artikel Berkaitan:

Malaysia sebelum ini memberi lebih banyak tumpuan kepada keirin dalam persiapan ke Sukan Olimpik Paris 2024, namun berbaki tiga tahun menuju Los Angeles 2028, Sukan Asia 2026 menjadi ujian sebenar untuk skuad pecut berpasukan.

Pelumba kebangsaan, dijangka berdepan cabaran sengit Jepun, China dan Korea Selatan bagi merealisasikan impian emas.

Namun Beasley percaya keupayaan pelumba negara bukan biasa-biasa, terutama Shah yang dilihat mempunyai potensi besar untuk menyaingi kehebatan pelumba lawan.

Sebagai rekod, skuad berbasikal negara bagi edisi di Jakarta 2018 meraih gangsa dan membawa pulang perak dari Hangzhou pada 2022.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!