33 tahun berkhidmat, Mohamad Fauzi bersara mulai esok

Mohamad Fauzi (tengah) bersalaman dengan rakan setugas pada Majlis Lambaian Kasih Jejak Perjuangan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur pada Rabu. Foto SPRM
Mohamad Fauzi (tengah) bersalaman dengan rakan setugas pada Majlis Lambaian Kasih Jejak Perjuangan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur pada Rabu. Foto SPRM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin mula bersara wajib pada Khamis, setelah 33 tahun berkhidmat bersama suruhanjaya tersebut.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Indera Junipah Wandi berkata, perjalanan karier Mohamad Fauzi dalam dunia pencegahan rasuah bermula sejak tiga dekad lalu.

Beliau berkata, sepanjang tempoh tersebut, beliau telah melalui pelbagai pancaroba, suka dan duka, cabaran serta tekanan tetapi masih mampu mengamalkan sikap positif.

"Semua ini telah menjadikan beliau sebagai seorang pengarah yang disegani.

"Sebagai Pengarah SPRM Kuala Lumpur, beliau telah memikul tanggungjawab besar dalam melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi.

"Bagi pihak pengurusan tertinggi, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga atas segala jasa, pengorbanan dan kepimpinan yang telah beliau berikan kepada SPRM," katanya pada Rabu.

Beliau berkata demikian semasa berucap sempena Majlis Lambaian Kasih Jejak Perjuangan yang diadakan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur.

Dalam ucapannya, Indera turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Mohamad Fauzi atas sumbangan intelektual beliau sebagai penulis buku berkaitan SPRM.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sumbangan itu mampu memberi manfaat besar kepada generasi SPRM dan masyarakat di luar.

Sementara itu, Mohamad Fauzi dalam ucapannya turut merakamkan ucapan penghargaan kepada barisan pengurusan tertinggi SPRM atas segala sokongan, bimbingan dan kerjasama dalam melaksanakan amanah diberikan.

Dalam majlis sama turut diadakan sesi serah terima tugas kepada Timbalan Pengarah (Operasi) SPRM Kuala Lumpur, Arafat Ibrahim yang menjalankan tugas sebagai Pengarah SPRM Kuala Lumpur baharu.

Selain itu turut diadakan acara simbolik menanam pokok rambutan dan 'clock out' yang menandakan tamatnya perkhidmatan Mohamad Fauzi bersama SPRM.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!