Agong berkenan berangkat ke Majlis Anugerah Sukan Negara 2024

 Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2024 yang berlangsung di sebuah hotel di Subang Jaya pada Selasa. Foto Bernama
Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2024 yang berlangsung di sebuah hotel di Subang Jaya pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2024 yang berlangsung di sebuah hotel di Subang Jaya, di sini pada Selasa.

Majlis berprestij itu menghimpunkan penggiat sukan tanah air bagi meraikan pencapaian cemerlang atlet negara sepanjang tahun lepas.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta Timbalannya, Adam Adli Abd Halim.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Dr K. Nagulendran dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin.

Pada majlis itu, Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan Anugerah Olahragawan Kebangsaan 2024 kepada beregu lelaki badminton negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang diwakili oleh Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia, Datuk Kenny Goh.

Anugerah Olahragawati Kebangsaan 2024 pula disandang atlet boling padang, Nor Farah Ain Abdullah, yang melakar sejarah tersendiri tahun lepas.

Aaron-Wooi Yik tidak dapat hadir kerana sedang menyertai Kejohanan Terbuka Thailand 2025 yang bermula hari ini hingga Ahad.

Pasangan beregu itu, yang kini berada di ranking kelima dunia, mempertahankan pingat gangsa Sukan Olimpik buat kali kedua berturut-turut selepas menewaskan gandingan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen pada saingan Paris 2024.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Nor Farah Ain mencuri perhatian selepas meraih pingat emas dalam acara individu wanita pada Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024 di Guernsey, Channel Islands, pada April tahun lepas.

Lebih manis, atlet nombor satu dunia itu turut mencatat sejarah sebagai atlet boling padang wanita pertama negara yang dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan.

Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan masing-masing membawa pulang piala, sijil serta wang tunai RM20,000.

Seri Paduka Baginda turut berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Sukan kepada Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

ASN yang diperkenalkan sejak 1966 merupakan pengiktirafan tertinggi kerajaan kepada atlet, jurulatih, pegawai dan persatuan sukan atas kecemerlangan yang dicapai sepanjang tahun. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!