Bergaduh kerana makanan, adik pukul abang sampai mati

MEDAN – Seorang lelaki tergamak memukul abang kandungnya hingga mati hanya kerana bertengkar tentang makanan.
Pelaku dikenali sebagai Hanafi, 33, warga Dusun Cemara, Desa Bogak, Kecamatan Tanjung Tiram, Kabupaten Batu Bara, Sumatera Utara, Indonesia.
Hanafi dikatakan memukul mangsa, Hermansyah, 44, menggunakan sebatang kayu.
“Insiden itu berlaku pada akhir minggu lalu. Hanafi berkelahi dengan abangnya di hadapan rumah. Pelaku kemudiannya menghayunkan kayu ke bahagian kepala Hermansyah hingga dia tersungkur.
“Dia terus memukul mangsa beberapa kali,” kata jurucakap polis, AKP Cecep Suhendra.
Jiran tetangga yang melihat pergaduhan dua beradik itu cuba membantu mangsa, namun tidak sempat menyelamatkannya.
Menurut Cecep, Hanafi melarikan diri setelah melihat abangnya terbaring kaku.
“Pihak berkuasa bergegas ke lokasi kejadian dan memberkas pelaku selepas menerima aduan. Siasatan awal kami mendapati pergaduhan itu berlaku selepas Hanafi tidak dapat menerima teguran kerana sering dimarahi abangnya.
“Mangsa menegur kerana pelaku kerap menghabiskan makanan di rumah tanpa memikirkan ahli keluarga yang lain,” jelasnya lagi. – Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

