Mandur ladang diikat, disamun tiga lelaki bertopeng

Seorang mandur ladang menjadi mangsa samun oleh dua lelaki bertopeng bersenjatakan pisau yang memecah masuk rumahnya di Felda Jengka 8, di sini pada Jumaat lalu - Gambar hiasan 123RF, gambar kecil: Wong Kim Wai
Seorang mandur ladang menjadi mangsa samun oleh dua lelaki bertopeng bersenjatakan pisau yang memecah masuk rumahnya di Felda Jengka 8, di sini pada Jumaat lalu - Gambar hiasan 123RF, gambar kecil: Wong Kim Wai
A
A
A

MARAN – [DIKEMAS KINI] Seorang mandur ladang menjadi mangsa samun oleh tiga lelaki bertopeng bersenjatakan pisau yang memecah masuk rumahnya di Felda Jengka 8, di sini pada Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa berusia 34 tahun diacukan pisau sebelum diikat menggunakan tali dan tali pinggang.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, suspek merampas dan melarikan beg pinggang milik mangsa yang mengandungi wang tunai RM1,000, kad bank, barang kemas dianggarkan bernilai RM10,000 dan sebuah telefon bimbit.

Menurutnya, penjenayah turut melarikan kereta mangsa jenis Proton Saga FLX, dengan jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan kira-kira RM16,000.

“Siasatan awal mendapati, ketika kejadian mangsa tinggal seorang diri di rumah berkenaan.

“Semasa kejadian, mangsa dipercayai pergi ke dapur untuk minum air dan selepas membuka lampu, dia mendapati dua lelaki bertopeng berada di dalam rumah,” katanya.

Kim Wai berkata, salah seorang suspek memegang pisau manakala seorang lagi memegang objek keras yang dibalut kain.

“Mangsa tidak melawan kerana bimbang dicederakan selepas suspek mengancam akan menikamnya jika berbuat demikian. Suspek kemudian mengikat tangan dan kaki mangsa.

“Mereka turut mengarahkan mangsa menyerahkan nombor kata laluan kad bank sebelum melarikan diri bersama kereta milik mangsa,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, mangsa bagaimanapun berjaya melepaskan diri selepas suspek beredar dari rumah.

“Dia kemudian menunggang motosikal dan mendapatkan bantuan daripada penduduk kampung yang berada di sebuah kedai makan berhampiran rumahnya.

“Susulan maklumat itu, polis ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan dan menemui tali, pisau, tali pinggang serta sehelai baju yang dipercayai digunakan suspek semasa kejadian,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dengan senjata.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!