Hasrat mahu bersiar-siar bertukar tragedi, remaja lemas jatuh jeti

IPOH – Seorang remaja perempuan ditemukan lemas di Jeti Sungai Raja Hitam, Kampung Beting Luas, Changkat Keruing, di sini, selepas dipercayai terjatuh akibat lantai jeti yang reput, malam semalam.
Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Manjung berkata, mayat mangsa yang berusia 15 tahun ditemukan oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Changkat Keruing pada jam 7.52 pagi ini selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan sejak malam tadi.
“Mayat mangsa ditemukan terapung oleh anggota bomba sukarela kira-kira satu kilometer dari lokasi dia dilaporkan jatuh dari jeti, sebelum dibawa ke pesisiran paya bakau,” menurut kenyataan itu.
Pegawai perubatan Kementerian Kesihatan yang hadir di lokasi kejadian telah mengesahkan kematian mangsa, dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Dalam insiden yang berlaku kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa yang berasal dari Kampung Baru Changkat Keruing dilaporkan tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai ketika bersiar-siar di jeti berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
