Ibu, anak parah kereta dirempuh lori

Rakaman kamera papan semuka mengenai insiden kemalangan sebuah lori yang merempuh Proton Saga BLM di lampu isyarat Bukit Subang, Sungai Buloh pada Rabu.
Rakaman kamera papan semuka mengenai insiden kemalangan sebuah lori yang merempuh Proton Saga BLM di lampu isyarat Bukit Subang, Sungai Buloh pada Rabu.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Dua beranak parah selepas kereta dinaiki dirempuh lori dalam kejadian di lampu isyarat Bukit Subang, Lebuhraya Guthrie, di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, laporan kejadian diterima pihaknya pada jam 1.20 petang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu lori berusia 31 tahun itu gagal mengawal kenderaannya hingga melanggar sebuah kereta jenis Proton Saga BLM.

"Kemalangan itu turut melibatkan empat kenderaan lain yang berada di lorong bersebelahan.

"Kejadian menyebabkan pemandu Proton Saga BLM iaitu wanita berusia 29 dan anak perempuannya berusia empat tahun yang berada di tempat duduk belakang parah," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Keadaan kereta dipandu mangsa dalam kemalangan di lampu isyarat Bukit Subang, Sungai Buloh pada Rabu.
Keadaan kereta dipandu mangsa dalam kemalangan di lampu isyarat Bukit Subang, Sungai Buloh pada Rabu.

Beliau berkata, kemalangan menyebabkan kerosakan teruk pada semua kenderaan terlibat.

Tambahnya, polis telah menahan pemandu lori terbabit untuk siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

Tegas Mohd Hafiz, pengguna jalan raya diingatkan agar memandu secara berhemah dan bertimbang rasa bagi mengelakkan kejadian seumpama ini tidak berulang.

"Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian untuk tampil membantu siasatan dan boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Azie Azyantie Mohd Rafae di talian 013-6756317 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh di talian 03-61561222," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!