350,000 batang rokok dalam plastik hitam dirampas

Timbunan plastik hitam yang mengandungi rokok seludup dirampas Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga dalam satu serbuan di pesisir Sungai Mak Neralang, Kok Keli pada awal pagi Isnin.
Timbunan plastik hitam yang mengandungi rokok seludup dirampas Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga dalam satu serbuan di pesisir Sungai Mak Neralang, Kok Keli pada awal pagi Isnin.
A
A
A

TUMPAT - Cubaan menyeludup masuk rokok putih bernilai RM693,000 dalam timbunan plastik hitam telah digagalkan oleh Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga dalam satu serbuan di pesisir Sungai Mak Neralang, Kok Keli, di sini, awal pagi Isnin.

Kejayaan rampasan tersebut adalah hasil tindakan pantas pasukan Markas Operasi Pengkalan Kubor yang menjalankan Operasi Taring Landai dan Operasi Khas Kontraban Siri 55/2025 sekitar jam 1.30 pagi.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Zulafendy Hassan berkata, pasukannya telah mengesan kelibat beberapa individu yang mencurigakan sebelum bergegas ke lokasi serbuan.

“Setibanya di lokasi, kami mendapati tiada individu di situ dan dipercayai bahawa penyeludup telah melarikan diri dengan kenderaan ke arah tepi sungai,” katanya dalam satu kenyataan media.

Pemeriksaan di kawasan tersebut menemukan timbunan plastik hitam yang mengandungi sebanyak 350,000 batang rokok putih yang dilarang untuk diimport.

Zulafendy menjelaskan bahawa nilai keseluruhan rokok tersebut adalah RM693,000 dan telah dibawa balik ke Markas Operasi untuk tindakan lanjut. Siasatan akan dijalankan mengikut Akta Kastam 1967.

Beliau turut menegaskan bahawa pihaknya sentiasa meningkatkan penguatkuasaan bagi membanteras jenayah rentas sempadan yang boleh menjejaskan keselamatan ekonomi negara.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta untuk menghubungi talian 09-5137726 atau emel gerakanw3@gmail.com. Identiti pemberi maklumat akan dilindungi.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!