Fahmi ucap takziah buat keluarga seniwati Sophia Ibrahim

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengucapkan takziah kepada keluarga seniwati Sophia Ibrahim yang dilaporkan meninggal dunia pada malam Isnin.

Menurut Fahmi, sumbangan Allahyarhamah terhadap industri seni bukan sekadar mewarnai pentas lakonan malah turut membentuk khazanah berharga dalam industri perfileman Melayu.

“Sepanjang perjalanan kerjayanya beliau bukan sahaja menyerikan pentas lakonan tetapi turut membentuk warisan begitu bermakna dalam khazanah perfileman Melayu.

“Saya pasti pemergian beliau amat dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia khususnya peminat filem Melayu dan seni budaya,” katanya di Facebook pada Isnin.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, seniwati Sophia telah disahkan meninggal dunia pada usia 77 tahun di sebuah hospital swasta pada 7.15 malam, Isnin akibat asma.

Berita pemergiannya disahkan sendiri oleh anaknya Hairie Kool atau nama sebenarnya Mohd Khairi Yaacob.

Menurut Mohd Khairi, jenazah ibunya dijangka disolatkan di Surau Al-Hijrah, Taman Bolton, Batu Caves sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda pada kira-kira 11 pagi esok.

Sophia mula aktif dalam dunia lakonan seawal usia 15 tahun menerusi filem "Ragam P. Ramlee" (1964) sebelum menyerlah dengan filem seperti "Dr Rushdi", "Cinta 200 Ela", "Pontianak Harum Sundal Malam" dan "Puteri Impian".

Allahyarham merupakan anak sulung daripada 10 beradik termasuk Datuk Khadijah Ibrahim dan Allahyarham Latif Ibrahim.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!