Curi kenderaan lama, Geng 'Along Jep' tumpas

KLANG – Kelicikan Geng 'Along Jep' mencuri kenderaan di sekitar Klang dan kawasan berhampiran akhirnya kecundang apabila empat suspek ditahan dalam beberapa tangkapan menerusi Op Lejang di daerah ini.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Mohd Zaini Abu Hassan berkata, suspek berusia antara 25 hingga 40 tahun itu dipercayai aktif sejak hujung tahun lalu dan terlibat dalam beberapa kes kecurian kereta serta motosikal.
Beliau berkata, kesemua suspek yang ditahan mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau dan berkaitan dadah.
“Kesemua suspek mempunyai sebanyak 30 rekod jenayah dan 22 kes berkaitan dadah, selain sering keluar masuk penjara.
“Selain itu, keempat-empat suspek disahkan positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam sidang akhbar pada Isnin.
Turut hadir, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa.

Mohd Zaini berkata, kebanyakan kereta yang dicuri kumpulan itu merupakan kenderaan lama dan sering ditinggalkan di tepi jalan.
Jelasnya, motif kecurian kereta dan motosikal tersebut adalah untuk kegunaan sendiri dan ditinggalkan apabila tidak lagi digunakan.

Menurut beliau, Geng 'Along Jep' dipercayai terlibat dalam kecurian lapan buah motosikal dan sembilan buah kereta di sekitar Klang Selatan, Klang Utara, Kuala Selangor serta Shah Alam.
“Bagi rampasan di Klang Selatan, polis telah menyita enam buah motosikal termasuk satu rangka dan enam buah kereta termasuk satu rangka,” ujarnya.
Tambahnya lagi, kesemua suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap dan bekerja sendiri.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan kes penemuan mayat seorang wanita dan anak saudaranya di sebuah rumah di Semenyih, Selangor pada Jumaat, beliau berkata, tiada tangkapan dibuat setakat ini.
Beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan sesak nafas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
