Pemandu treler cedera disamun, diserang ketika tidur

KUALA SELANGOR – Seorang pemandu treler cedera selepas cuba disamun dua lelaki bertopeng ketika sedang tidur dalam kenderaan berat itu berhampiran sebuah stesen minyak di Parit 4, Sekinchan di sini, pada malam Jumaat.
Dalam kejadian jam 11 malam itu, suspek bertindak memecahkan cermin tingkap treler jenis Hino yang dipandu mangsa sebelum cuba mengambil barangan miliknya.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajuddin berkata, mangsa berusia 54 tahun itu mengalami kecederaan di tangan kanan dan kaki kiri akibat terkena serpihan kaca.
“Kedua-dua suspek melarikan diri menaiki kereta dipercayai jenis Honda atau Toyota Vios berwarna kelabu gelap yang tidak dapat dipastikan nombor pendaftarannya,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambah Azaharudin, pihaknya sedang mempergiatkan usaha mengesan suspek terlibat.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan iaitu cubaan samun,” tambah beliau.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-3289 1222 atau balai polis berhampiran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

