GE2025: Hari penentu, rakyat Singapura memilih

SINGAPURA - Jutaan penduduk Singapura menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (GE2025) yang berlangsung pada Sabtu.
Seramai 206 calon daripada 11 parti termasuk dua calon bebas bersaing untuk merebut 92 kerusi yang dipertandingkan di 32 kawasan pilihan raya.
Kira-kira 2.75 juta warga Singapura layak mengundi pada kali ini dan jumlah itu meningkat lebih 100,000 orang berbanding 2.65 juta individu pada GE2020.
Ia merupakan pemilihan pertama di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Lawrence Wong dan isu utama yang menjadi perhatian kebanyakan pengundi adalah tentang perumahan, ekonomi serta kos sara hidup.
Pusat pengundian dibuka seawal jam 8 pagi selepas tempoh berkempen selama sembilan hari.
Terdahulu, Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) mengeluarkan amaran hujan lebat di sebahagian kawasan di negara tersebut.
GE2025 juga mengembalikan semula perhimpunan awam selepas ia digantung pada 2020 kerana sekatan ketat Covid-19.
Parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP) sudah pun meraih lima kerusi menerusi kemenangan percuma di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Marine Parade-Braddell Heights.
PAP bertanding untuk kesemua 92 kerusi manakala parti pembangkang utama, Parti Pekerja (WP) meletakkan calon untuk merebut 26 kerusi.
Daripada 32 kawasan pilihan raya dipertandingkan, 17 adalah GRC manakala 15 Kawasan Undi Perwakilan Tunggal (SMC).
Terdapat lima persaingan berbilang penjuru termasuk empat penjuru di GRC Tampines. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

