Bakal pengantin maut kemalangan dua hari sebelum nikah

Bakal pengantin, Siti Nur Syamira maut dalam kemalangan di Kilometer 93.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, dekat Yong Peng pada pagi Khamis. Gambar kecil: Siti Nur Syamira
Bakal pengantin, Siti Nur Syamira maut dalam kemalangan di Kilometer 93.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, dekat Yong Peng pada pagi Khamis. Gambar kecil: Siti Nur Syamira
A
A
A

BATU PAHAT - Impian seorang wanita untuk melangsungkan perkahwinan pada Sabtu ini tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di Kilometer 93.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, dekat Yong Peng pada pagi Khamis.

Nahas kira-kira jam 8.30 pagi itu mengorbankan Siti Nur Syamira Samsol, 28, manakala tunangnya, Muhammad Aiman Abdul Rashid, 30, terselamat.

Difahamkan pasangan itu dalam perjalanan pulang ke rumah ibu mangsa di Kampung Benaung, Mersing bagi membuat persiapan akhir majlis perkahwinan mereka.

Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Hafiz Othman dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.45 pagi.

“Kemalangan melibatkan kereta jenis Perodua Bezza yang difahamkan terbabas dan melanggar penghalang jalan. Pemandu lelaki tersebut tidak tersepit, tetapi mangsa wanita berkenaan tersepit.

"Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, mayat mangsa kemudian dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani mengesahkan kejadian dan memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!