Tak tahan kena bebel, lelaki tikam adik perempuan

PALEMBANG - Seorang lelaki tergamak menikam adik perempuannya hanya kerana tidak dapat menahan amarah selepas dibebel mangsa ketika pulang ke rumah pada lewat malam.
Ketua Polis Daerah Talang Kelapa, AKP Herli Setiawan berkata, mangsa yang berusia 16 tahun ditikam, dipukul dan turut mengalami kecederaan parah apabila sebahagian telinganya terputus dalam kejadian itu.
“Ketika kejadian, mangsa membuka pintu selepas suspek dikenali sebagai Heru Pratama, 25, mengetuk. Mangsa menegur suspek dan memarahinya kerana pulang lewat malam.
“Selepas itu, mangsa berbaring tetapi masih dalam keadaan marah. Suspek yang mendengar kata-kata tersebut gagal mengawal emosinya lalu mengambil pisau dari dapur dan menyerang mangsa ketika dia sedang berbaring. Tikaman pertama terkena pada bahagian leher sebelah kiri,” katanya.
Tambah Herli, mangsa sempat bangun dan cuba menyelamatkan diri serta menjerit meminta tolong, namun suspek terus menyerangnya.
“Suspek memukul leher mangsa sebanyak tiga kali dan bahu sebanyak dua kali. Mangsa sempat menangkis beberapa serangan, namun pisau turut terkena bahagian lain termasuk telinga mangsa yang terputus.
“Mendengar jeritan mangsa, penduduk setempat datang ke rumah tersebut. Suspek segera melarikan diri sebaik melihat orang ramai tiba. Jiran yang memasuki rumah mendapati mangsa berlumuran darah sebelum segera membawanya ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan,” ujarnya.
Menurut Herli, suspek berjaya ditahan pihak polis dan telah dijamin untuk bertanggungjawab sepenuhnya atas tindakannya.
Polis turut merampas pisau yang digunakan dalam serangan tersebut sebagai bahan bukti. - Tribunnews/Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

