Flick tebar keyakinan Barcelona berdepan Inter

Hansi Flick Foto: Agensi
Hansi Flick Foto: Agensi
A
A
A

PENGENDALI Barcelona, Hansi Flick, menegaskan kejayaan menewaskan musuh tradisi, Real Madrid, untuk menjulang trofi Piala Raja Sepanyol minggu lalu, menjadi motivasi tambahan dan bukannya gangguan apabila berdepan Inter Milan di separuh akhir Liga Juara-Juara.

Skuad kendalian Flick, yang kini menduduki takhta LaLiga, melengkapkan langkah pertama dalam buruan treble dramatik mereka dengan kemenangan 3-2 dalam masa tambahan di Estadio de La Cartuja.

Justeru, ditanya sama ada perlu meredakan euforia dalam kalangan pemain menjelang perlawanan pertama menentang kelab gergasi Serie A Itali itu di Estadi Olímpic Lluís Companys pada Khamis,

“Tidak, apa yang saya lihat adalah semua orang fokus pada perlawanan ini, semua orang tahu betapa pentingnya untuk dapat mara ke final Liga Juara-Juara.

“Kemenangan ke atas Real ini juga sangat penting untuk aura positif, dan ia boleh juga mendorong anda. Kami tahu bahawa kami perlu bekerja keras untuk ke final. Ia adalah impian bagi semua orang untuk berada di sini, kami harus kekal fokus...

“Inter pula mempunyai beberapa anggota pasukan sudah berusia yang merupakan peluang terakhir untuk ke final dan mereka akan memberikan 100 peratus,” tegas Flick

Selepas pertarungan sengit selama 120 minit menentang Real, Flick kini menanti reaksi dalam kalangan pemainnya dalam sesi latihan.

“Kita akan lihat esok, hari ini bukan hari untuk bercakap mengenai kesebelasan utama, esok kita akan lihat apa yang berlaku dan bagaimana mereka pulih.

Artikel Berkaitan:

“Inter bermain pada Ahad dan mereka mempunyai kurang jam pemulihan tetapi ini adalah separuh akhir Liga Juara-Juara dan semua orang mahu memberikan 100 peratus,” kata Flick.

Sementara itu, Flick turut mengesahkan bahawa Wojciech Szczesny akan kekal sebagai penjaga gol pilihan pertamanya di Liga Juara-Juara meskipun kembalinya Marc-Andre ter Stegen selepas pulih daripada kecederaan jangka panjang.

Impian treble Inter berakhir minggu lalu apabila tersingkir daripada separuh akhir Piala Itali kepada AC Milan, dan dua kekalahan liga berturut-turut membolehkan Napoli merampas kedudukan teratas Serie A dan membuka jurang tiga mata.

Bagaimanapun, Flick tidak akan mengubah pendekatannya menentang pasukan yang tewas dalam tiga perlawanan berturut-turut itu.

“Liga Juara-Juara juga merupakan peluang besar bagi Inter untuk memenangi gelaran, mereka hanya dua perlawanan lagi dari final, sama seperti kami.

“Tidak penting mengenai perlawanan pada masa lalu. Saya tidak memikirkan tentang itu kerana itu bukan tugas saya, fokus pada pasukan saya,” akhir Flick.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!