Segerakan pembinaan Sekolah Sukan Perlis - PM

Anwar menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 peringkat Negeri Perlis di Dataran Lok 9, Kuala Perlis pada Ahad. Foto Bernama
Anwar menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 peringkat Negeri Perlis di Dataran Lok 9, Kuala Perlis pada Ahad. Foto Bernama
A
A
A

KANGAR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pembinaan Sekolah Sukan Negeri Perlis yang gagal disiapkan sejak 11 tahun lalu dapat disegerakan pada tahun ini.

Projek tersebut merangkumi pembangunan kompleks sekolah khusus dalam bidang sukan yang sepatutnya siap pada 2014 namun masih tergendala sehingga hari ini.

Perkara tersebut diumum pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Negeri Perlis di Dataran Lok 9, Kuala Perlis pada Ahad.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat ke majlis tersebut.

Berangkat sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama, Menteri Besar Perlis, Shukri Ramli dan pegawai kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Menurut Anwar, Tuanku Raja Perlis telah menzahirkan perkara tersebut yang mahu projek pembinaan sekolah tersebut disegerakan.

"Sudah berbelas tahun, sukan tiada, sekolah pun tiada jadi akhirnya saya putuskan untuk batalkan langkah sedia ada dan melantik syarikat GLC seperti Khazanah Nasional (Khazanah) atau Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang mempunyai kewibawaan.

Artikel Berkaitan:

"Kita beri arahan segerakan tahun ini juga untuk memulakan projek, memulakan pelaksanaan projek ini dengan kadar segera bersama peruntukan apa yang perlu untuk menyiapkan sekolah sukan di Perlis," katanya semasa berucap pada majlis tersebut.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Anwar berkata, pemberian kerajaan Persekutuan yang disalurkan langsung kepada setiap kerajaan negeri ditingkatkan di bawah Kerajaan Madani adalah sebanyak RM168.4 juta pada 2022, RM182.3 juta (2023) dan RM210.6 juta (2024).

Menurutnya, kenaikan keseluruhan daripada tahun 2022 hingga 2024 adalah membabitkan sebanyak 25 peratus.

"Peruntukan Pembangunan (DE) Perlis juga turut dinaikkan RM391.91 juta pada tahun 2022, RM596.82 juta pada tahun 2023 dan RM645.58 juta pada tahun 2024.

"Kenaikan keseluruhan daripada tahun 2022 hingga 2024 ini adalah sebanyak 65 peratus," katanya.

Tambah beliau, dalam menangani cabaran kos sara hidup, kerajaan telah menambah baik program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan peruntukan tambahan RM3 bilion melibatkan bilangan penerima naik dari 700,000 kepada 5.4 juta bermula 1 April 2025.

Menurutnya, setiap isi rumah menerima sehingga RM100 sebulan yang dikreditkan melalui MyKad dibelanja di kedai runcit.

"Penerima manfaat SARA di negeri Perlis pula pada 2024 adalah sebanyak 25,682 orang dan meningkat pada 2025 kepada 62,292 orang setakat April.

"Peningkatan ini adalah hampir 2.5 kali ganda," kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!