JDT kekal Raja Bola Sepak Malaysia

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) terus mengukir sejarah apabila berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia selepas menewaskan Sri Pahang FC 2-1 dalam aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Sabtu.
Kejayaan itu turut menyaksikan skuad Harimau Selatan mencipta rekod luar biasa dengan merangkul gelaran hatrik quadruple iaitu memenangi empat kejuaraan utama dalam tiga musim berturut-turut iaitu Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia.
Bagaimanapun, Sri Pahang yang hadir sebagai pasukan bukan pilihan wajar diberikan pujian selepas mempamerkan semangat juang tinggi, terutama pada separuh masa pertama.
Pasukan kendalian Fandi Ahmad itu mengejutkan JDT apabila membuka jaringan seawal minit ke-14 menerusi T Saravanan.
JDT hampir menyamakan kedudukan 11 minit kemudian menerusi jaringan Bergson da Silva, namun gol tersebut dibatalkan pengadil kerana ofsaid selepas menerima hantaran sepakan percuma Juan Muniz.
Malang menimpa Sri Pahang apabila penyerang import mereka, Sergio Aguero diperintahkan keluar padang selepas menerima kad kuning kedua sebelum tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, JDT melakukan dua pertukaran penting apabila Romel Morales dan Iker Martinez dimasukkan bagi memperkemaskan jentera serangan.
Usaha itu membuahkan hasil apabila JDT dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-54 selepas Oscar Aribas dikasari Mohd Azrif Nasrulhaq.
Bergson tenang menyempurnakan penalti tersebut untuk mengikat kedudukan 1-1.
Namun, situasi kembali seimbang apabila JDT turut kehilangan seorang pemain, Park Jun-heong yang dibuang padang selepas mengutip kad kuning kedua tiga minit kemudian.
Meskipun beraksi 10 lawan 10, JDT tetap memperlihatkan keampuhan apabila bintang mereka, Arif Aiman Hanapi muncul wira dengan jaringan kemenangan pada minit ke-74 untuk memastikan Piala Malaysia terus kekal di bumi Johor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!