Tapak kaki dinosaur belum sahih - Exco Kelantan

Kamarudin
Kamarudin
A
A
A

KOTA BHARU - Penemuan tapak kaki dinosaur di Bukit Panau belum dapat disahkan kesahihan kewujudan hidupan purba di lokasi berkenaan.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, penemuan itu bagaimanapun boleh dipertimbangkan untuk tujuan pelancongan.

"Penemuan tapak kaki dinosaur ini satu hal penting dan menarik. Kalau kita kaitkan dengan penemuan satu rangka sempurna dikatakan berusia 12,000 tahun di Gua Keledong Neggiri, mungkin tapaknya ada di Bukit Panau itu.

"Malangnya kita tidak dapat sahkan lagi. Kalau ada fosil di Bukit Panau, kita boleh buat kajian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Abdul Fattah Mahmood (Pas- Bukit Panau) ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Khamis.

Terdahulu, Abdul Fattah ingin mengetahui mengenai langkah kerajaan negeri memperelokkan Tapak warisan dan pelancongan di Kelantan.

Kamarudin memberitahu, ada beberapa tapak lagi dalam kajian dan pertimbangan kerajaan iaitu di Bukit Marak dikaitkan dengan Puteri Saadong yang sudah dimajukan pihak swasta.

"Begitu juga lokasi pertempuran Tok Janggut di Kampung Saring, Pasir Puteh yang kini dalam perancangan pembinaan galeri," katanya.

Tambahnya, usaha pencarian kapal dikatakan tenggelam ketika dalam perjalanan membawa bunga emas sebagai ufti kepada kerajaan Siam juga sedang dilakukan.

Artikel Berkaitan:

"Usaha dibuat untuk kenal pasti tetapi belum jumpa lagi, kita menunggu jika ada kerangka kapal itu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!