[VIDEO] Harga emas diramal terus melonjak, berlaku pembelian panik - Peniaga
Peningkatan harga emas sejak awal tahun 2025 sahaja mencatatkan kenaikan lebih RM50 per gram, membuatkan ramai individu mula menyedari potensi keuntungannya.
ALOR SETAR – Harga emas diramal boleh melonjak kepada RM600 hingga RM700 pergram pada penghujung tahun ini, didorong oleh fenomena luar biasa dan isu global yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Pengasas Empayar Emas YL Changlun, Elee Salmi Ishak, berkata, peningkatan harga emas sejak awal tahun ini sahaja mencatatkan kenaikan lebih RM50 per gram, membuatkan ramai individu mula menyedari potensi keuntungannya.
Menurutnya, lonjakan ini mencetuskan fenomena pembelian panik dalam kalangan masyarakat yang berlumba-lumba mendapatkan emas sebagai simpanan dan pelaburan.

“Kenaikan harga emas ini berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya. Pembelian panik berlaku kerana ramai sedar, jika tidak beli sekarang harga mungkin terus naik dan mereka akan terlepas peluang,” katanya yang kini mempunyai lebih 1,500 ejen di seluruh Malaysia dan Indonesia.
Beliau turut menjangkakan trend ini akan berterusan, memandangkan emas bukan hanya menjadi aset pelaburan yang menguntungkan, tetapi juga mampu menjadi simpanan jangka panjang yang kukuh.

Fenomena kenaikan harga emas menyebabkan permintaan meningkat secara mendadak, sehingga stok emas cepat habis di pelbagai platform di Malaysia.
“Alhamdulillah, kami lihat pembelian emas berlaku secara drastik. Kilang emas juga panik kerana tidak mampu memenuhi permintaan. Bagi mereka yang membeli emas dua hingga tiga bulan lalu, mereka sudah menikmati keuntungan daripada kenaikan harga ini,” tambah beliau.
Pada masa yang sama, ramai pemilik emas tampil menjual koleksi emas mereka untuk menikmati margin keuntungan yang tinggi, memandangkan harga pasaran berada pada tahap yang amat menguntungkan.
Elee Salmi turut menasihatkan masyarakat untuk menjadikan emas sebagai aset kewangan utama mereka.
“Tidak cukup untuk bergantung kepada simpanan tunai semata-mata kerana tunai lebih mudah digunakan dan boleh habis akibat nafsu berbelanja. Bila simpan dalam bentuk emas, kita tidak mudah menjualnya kerana rasa sayang, sekali gus dapat mengukuhkan kewangan kita,” jelasnya.

Beliau percaya, menyimpan emas dapat membantu individu merancang kewangan mereka dengan lebih baik, terutama dalam menghadapi ketidakstabilan ekonomi global.
Empayar Emas YL Changlun mula diasaskan pada 2019 dan aktif di Malaysia dan Indonesia bakal memasuki pasaran Singapura serta Brunei sebagai langkah pengembangan perniagaan emas di peringkat antarabangsa.
Pada Selasa, media melaporkan harga emas melonjak ke paras tertinggi baharu, mencecah paras penting AS$3,500 (RM15,307.40) atau RM492.14 segram.
Ini berikutan kebimbangan terhadap kritikan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump terhadap Pengerusi Rizab Persekutuan, Jerome Powell yang melemahkan sentimen risiko dan mendorong pelabur beralih kepada logam berharga sebagai aset selamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!