Mimpi Marsha Milan jadi kenyataan

PENYANYI Marsha Milan mengorak langkah melakar pencapaian luar biasa di peringkat antarabangsa apabila wajahnya menghiasi papan iklan ikonik di Times Square, New York pada 18 April lalu sebagai duta EQUAL Asia oleh Spotify bagi bulan April 2025.
Kejayaan ini sekali gus meletakkan Marsha sebagai wajah utama playlist EQUAL Singapore & Malaysia yang menampilkan dua lagu hit beliau iaitu Hening Rindu dan Tangisan Seorang Pendosa.
Berkongsi perasaannya sebagai duta EQUAL bulan ini, Marsha yang menerima berita gembira ini sangat teruja dan sukar mempercayainya.
“Over the moon! Ini kali pertama dan saya sangat bersyukur! Saya fikir peluang seperti ini hanya mimpi, tapi alhamdulillah, ia kini menjadi kenyataan.
"Sejak dulu, saya impikan untuk muncul di papan iklan dan akhirnya, gadis dari bandar kecil di Sabah ini mendapat peluang itu," katanya.
Ditanya pendapat dan harapannya selepas pengiktirafan ini, Marsha berkata: “Saya tidak ada strategi khusus untuk dipilih lagi, tapi saya percaya lagu yang baik memang akan dihargai.
"Harapan saya, pencapaian ini dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai komposer berbakat untuk terus menghasilkan lagu-lagu yang berkualiti,” katanya.

Tidak berakhir di situ, Marsha juga telah dipilih oleh KBS World Korea sebagai salah seorang artis yang akan membuat persembahan di Festival ROUND (ASEAN-Korea Music Festival) yang akan berlangsung di Zepp KL pada 21 dan 22 Jun ini.
Dibawakan ke Kuala Lumpur dengan sokongan ASEAN-Korea Cooperation Fund, Marsha pastinya berbesar hati diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada festival berprestij ini, sebaris dengan nama-nama besar serantau dalam meraikan muzik dan bakat Asia.
Sebagai info, duta EQUAL merupakan inisiatif global oleh Spotify untuk memupuk kesamarataan jantina dalam industri muzik dengan memberi tumpuan kepada bakat, pencapaian dan suara wanita dari seluruh dunia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

