Mesra pengundi, calon BN terima sokongan positif

Mohamad Yusri terus menerima sokongan positif daripada pengundi dalam siri kempen PRK DUN Ayer Kuning.
Mohamad Yusri terus menerima sokongan positif daripada pengundi dalam siri kempen PRK DUN Ayer Kuning.
A
A
A

TAPAH - Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir terus menerima sokongan positif daripada penduduk setempat.

Tinjauan di beberapa kawasan seperti Tapah Road, pekan Air Kuning, Temoh Stesen dan Sungai Lesong mendapati, rata-rata pengundi menyambut baik pencalonan beliau yang merupakan anak jati tempatan.

Sepanjang siri kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) tersebut, kehadiran sosok tubuh yang mesra disapa Ustaz Yusri disenangi pengundi yang melihat beliau sebagai pemimpin berjiwa rakyat dan berpengalaman luas dalam perkhidmatan masyarakat.

Seorang penduduk, Lee Ah Seong, 75, berkata, Mohamad Yusri seorang yang mudah didekati dan tidak kekok turun padang bertemu masyarakat tanpa mengira latar belakang termasuk kumpulan warga emas sepertinya.

 AH SEONG
AH SEONG

Katanya, pendekatan yang bersahaja tanpa perlu kehadiran tokoh politik besar membuatkan penduduk rasa dekat dan mesra.

"Ini yang kita harapkan daripada seorang pemimpin. Bila bersembang kita boleh lihat, beliau terima pendapat orang tua macam saya," katanya.

Sementara itu, S Saraswathy, 62, berkata, walaupun tidak mengenali peribadi Mohamad Yusri dengan begitu rapat, suri rumah itu memuji sikap rendah diri calon tersebut.

SARASWATHY
SARASWATHY

Artikel Berkaitan:

Katanya, sikap sedemikian yang dipamerkan ketika kunjungan rumah ke rumah memberi keyakinan kepada pengundi bahawa pemimpin itu dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan baik dalam membela nasib rakyat pada masa hadapan.

"Saya senang dengan cara beliau bergaul. Tiada sempadan bangsa atau agama. Dia juga pandai berbahasa Tamil walaupun hanya satu dua perkataan sahaja," katanya.

Bersama anak muda

Mohamad Yusri dalam kempennya di Pasar Awam Tapah Road menyantuni penyokong dan calon PN, Abd Muhaimin Malek.
Mohamad Yusri dalam kempennya di Pasar Awam Tapah Road menyantuni penyokong dan calon PN, Abd Muhaimin Malek.



Bagi Hairul Harizal Md Jani, 47, kehadiran Mohamad Yusri dalam pelbagai majlis sepanjang kempen ini termasuk di masjid dan surau menjadikan beliau lebih dikenali berbanding calon lain.

Pengawal keselamatan itu berkata, keadaan itu menunjukkan komitmen tinggi daripada calon dan parti untuk memenangi hati pengundi pada pilihan raya kali ini.

"Saya lihat calon BN ini ada kelebihan dari segi ketokohannya sebagai pemimpin.

"Baguslah begitu sebab dalam pemilihan wakil rakyat ini, kita kena cari calon yang betul-betul ambil tahu masalah rakyat dan kawasannya, bukan untuk kesenangan mereka semata-mata," katanya.

Penduduk Orang Asli, Rosielianawati Pane Maruli, 27, pula berkata, banyak program kemasyarakatan telah disusun sepanjang kempen dengan sebahagian besarnya melibatkan golongan muda.

ROSIELIANAWATI
ROSIELIANAWATI

Ujarnya, pendekatan itu memberi harapan kepada generasi baharu untuk terus menyumbang idea kepada pembangunan setempat.

"Kami lihat Ustaz Yusri ini seorang yang menghormati suara anak muda. Bila turun ke kawasan bukan setakat bertanya khabar, tetapi ada juga meminta pandangan untuk menambah baik pembangunan.

"Sekiranya diberikan mandat sebagai wakil rakyat, kita harap beliau dapat mendengar dan mengangkat suara rakyat yang memerlukan termasuklah komuniti masyarakat Orang Asli," katanya.

PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 59, daripada BN pada 22 Februari lepas akibat serangan jantung.

Ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohamad Yusri bersama calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).

PRK DUN Ayer Kuning pamer politik matang

Dalam siri kempen di Pasar Awam Tapah, Mohamad Yusri turut menyantuni jentera dan penyokong calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS.
Dalam siri kempen di Pasar Awam Tapah, Mohamad Yusri turut menyantuni jentera dan penyokong calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS.



TAPAH - Kematangan politik ditonjolkan calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir setiap kali pertembungan berlaku dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning ini.

Beliau bukan sahaja bertanya khabar dan berkongsi perkembangan perjalanan jentera, tetapi saling bertukar risalah kempen bersama parti lawan.

Dalam siri kempen di Pasar Awam Tapah, Mohamad Yusri turut menyantuni jentera dan penyokong calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS.

Pertembungan tersebut menciptakan suasana harmoni apabila kedua-duanya saling bertukar risalah kempen yang diedarkan kepada pengunjung.

Bekas guru dan pensyarah kanan itu sempat bertanya kepada Bawani perjalanan kempen dan Bawani menjawab semuanya berjalan lancar.

Seorang pengunjung, Ismail Ahmad, 52, memuji sikap profesional dan kematangan berpolitik kedua-dua calon.

"Kedua-dua mereka menyapa saya dan saya lihat penyokong masing-masing juga turut bersalam sesama sendiri sewaktu bertembung. Sebagai rakyat saya suka suasana harmoni seperti ini," katanya.

Sebelum ini, Mohamad Yusri dalam kempennya di Pasar Awam Tapah Road menyantuni calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek.

Dalam pertembungan itu, kedua-duanya bersalaman dan berpelukan serta berbual mesra sebelum meneruskan kempen masing-masing.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!