Kejayaan PDRM tumpas sindiket dadah dapat perhatian Tun M

PUTRAJAYA - Kejayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket dadah melibatkan rampasan bernilai jutaan ringgit mendapat perhatian bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bagaimanapun menerusi hantaran di laman Facebook pada Jumaat, Dr Mahathir berkata, tiada laporan mengenai tangkapan melainkan kes kecil sahaja.
"Tetapi saya masih percaya tangkapan dan tahanan akan berlaku, Insya-ALLAH.
"Pengedar dadah bernilai ratusan million akan ditahan, dihadap ke mahkamah, dibicara dan dihukum," katanya.
Jelas beliau, pengedaran dadah merupakan suatu kesalahan serius yang boleh dihukum gantung sampai mati.
"Inilah yang dikenali sebagai 'the rule of law' yang menjadi pegangan kerajaan negara tercinta ini.
"Saya ucap tahniah kepada PDRM," jelas beliau.
Pada 10 Mac lalu, media melaporkan PDRM Johor menumpaskan dua sindiket pembungkusan dan pengedaran dadah, yang mencampurkan beberapa jenis bahan larangan itu dalam satu paket seperti 'koktail', bernilai hampir RM 7 juta.
Tujuh individu telah ditahan dalam dua operasi berasingan di Johor Bharu.
Di Georgetown pula, polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di Pulau Pinang susulan rampasan bahan itu dan aset bernilai lebih RM1.16 juta selain menahan dua individu tempatan pada 3 Mac lalu.
Sementara itu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis mengesan penemuan ganja 13.207 kg yang bernilai RM1 juta yang ditinggalkan di dalam sebuah beg pakaian hitam di laluan mesin pengimbas Unit Dagangan Kereta Api di Stesen Kereta Api Padang Besar pada 4 Mac.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

