Sarjan Alang tukar 'uniform', kini ejen sah gas LPG

Sarjan Alang kini bergelar ejen syarikat gas memasak di Klang.
Sarjan Alang kini bergelar ejen syarikat gas memasak di Klang.
A
A
A

KLANG – Selepas seringkali tular kerana berpakaian seperti anggota polis dan melakukan sekatan jalan raya secara spontan di sekitar Meru, Klang, insan istimewa dikenali sebagai ‘Sarjan Alang’ kini memulakan fasa baharu dalam hidupnya sebagai ejen sah syarikat gas memasak.

Perkara itu dimaklumkan pemilik akaun Facebook, Eone Psyco, yang sebelum ini memuat naik hantaran mengenai pemuda terbabit.

Menurutnya, Sarjan Alang akan memberi fokus kepada perniagaan gas LPG berdaftar di Klang dan sekitarnya.

“Alhamdulillah, rezeki ALLAH itu luas. Walaupun cita-citanya untuk menjadi anggota polis masih tersimpan dalam hati, sekarang dia mula berbakti sebagai ejen syarikat gas,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Menurut pemilik akaun itu, masyarakat diminta memainkan peranan bersama dalam memastikan Sarjan Alang tidak bertindak di luar kawalan termasuk menjaga lalu lintas seperti sebelum ini.

“Kalau nampak Sarjan Alang masih buat ‘sekatan jalan raya’, jangan sekadar rakam video tapi terus ambil tindakan.

“Kami dan keluarga hanya akan mengiringi Sarjan Alang untuk kandungan dirancang atau majlis rasmi sahaja,” katanya.

Jelasnya, Sarjan Alang bukan individu yang boleh duduk diam di rumah dan gemar keluar meronda kampung, selain pemantauan berterusan sangat penting.

Artikel Berkaitan:

Mewakili pihak produksi dan keluarga, pemilik akaun itu turut memohon maaf jika kandungan sebelum ini menimbulkan kesulitan.

“Sarjan Alang kini tampil sebagai usahawan kecil yang bersedia memberi khidmat kepada komuniti melalui penjualan gas memasak yang sah,” tambahnya.

Sinar Harian pada Selasa lalu melaporkan, Sarjan Alang yang sering berpakaian seperti anggota polis dan melakukan ‘sekatan jalan raya’ secara spontan di sekitar Meru, Klang dipanggil memberi keterangan susulan penularan sebuah video berkaitan tindakannya, baru-baru ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!