Bapa lima anak dipenjara 30 tahun, 12 sebatan edar dadah

Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi, di sini pada Selasa atas kesalahan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat lebih 175 gram, tiga tahun lalu. Gambar hiasan
Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi, di sini pada Selasa atas kesalahan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat lebih 175 gram, tiga tahun lalu. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi, di sini pada Selasa atas kesalahan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat lebih 175 gram, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Hassan Abd Ghani memutuskan hukuman terhadap tertuduh, Nik Mohd Affendi Nik Mustafah, 34, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Berdasarkan pertuduhan, dadah tersebut dijumpai dalam laci papan pemuka sebuah kereta jenis Perodua Myvi di Taman Bestari Bukit Kuang, Kemaman, kira-kira jam 2.30 pagi pada 19 Mei 2022.

Tertuduh yang merupakan bapa kepada lima anak didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan jika sabit kesalahan.

Sepanjang perbicaraan, seramai 11 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan, manakala hanya tertuduh tampil sebagai saksi tunggal dalam pembelaannya.

Berdasarkan fakta kes, ketika serbuan dilakukan di sebuah rumah, tertuduh bertindak melarikan diri namun berjaya diberkas selepas berlaku pergelutan dengan anggota polis.

Pemeriksaan lanjut menemui kunci sebuah kereta Perodua Myvi di poket seluar tertuduh sebelum membawa kepada penemuan lima paket plastik cerah berisi kristal disyaki dadah dalam sebuah beg berzip hitam di dalam laci papan pemuka kenderaan tersebut.

Selepas meneliti hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dan mensabitkan tertuduh bersalah pada akhir kes pembelaan.

Hukuman penjara ke atas tertuduh berkuatkuasa bermula dari tarikh tangkap pada 19 Mei 2022.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah dan Mohd Khairuddin Idris manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Kamaruzzaman A Wahab.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!