Liverpool tekad bangkit, lupakan kekalahan memalukan

LIVERPOOL bertekad untuk bangkit semula selepas mengalami kekalahan mengejut ketika mereka bakal menerima kunjungan West Ham United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) Ahad ini.
Meskipun selesa mendahului carta liga, Liverpool dikejutkan dengan kekalahan tipis 2-3 kepada Fulham minggu lalu, sekali gus menamatkan rekod tanpa kalah dalam 26 perlawanan liga.
Kekalahan itu mencetuskan dakwaan bahawa skuad kendalian Arne Slot mula berasa selesa, namun pengendali The Reds itu menegaskan anak buahnya kekal fokus dalam usaha memburu gelaran liga pertama sejak 2020.
"Saya tidak nampak sebab untuk kami menjadi alpa. Semua yang menonton perlawanan kami tahu betapa sukar dan kerasnya usaha kami untuk menang," katanya menjelang aksi bertemu West Ham di Anfield.
Liverpool kini memiliki kelebihan 11 mata di depan Arsenal di tangga kedua dengan hanya tujuh perlawanan berbaki.
Mereka berpeluang menyamai rekod 20 kejuaraan liga milik Manchester United jika berjaya mengekalkan momentum kemenangan.
Selain itu, saingan liga menyaksikan perebutan slot ke Liga Juara-Juara menjadi taruhan dengan lima slot musim depan ditawarkan kepada kelab Inggeris.
Nottingham Forest yang kini di kedudukan ketiga dan bakal menentang Everton, berpeluang untuk kembali ke pentas Eropah buat kali pertama sejak musim 1980-81.
Chelsea di tangga keempat pula hanya dibezakan dengan perbezaan jaringan dengan Newcastle di tempat kelima. Chelsea bakal menentang pasukan bergelut, Ipswich, manakala Newcastle berdepan cabaran getir menentang Manchester United.
Aston Villa yang menghuni tangga ketujuh, dua mata di belakang kelompok lima teratas, bakal bertandang ke markas Southampton yang sudah tersingkir.
Manchester City pula, yang berada di tempat keenam, bakal melayani kunjungan Crystal Palace.
Anak buah Pep Guardiola tidak boleh kehilangan mata jika mahu kekal dalam persaingan ke Liga Juara-Juara memandangkan musim ini dilabel antara yang paling mengecewakan buat mereka. City tidak pernah terlepas aksi Liga Juara-Juara sejak musim 2010-11.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!