[VIDEO] Tumpahan minyak Tanjung Langsat: Pembersihan selesai dua hari lagi
JOHOR BAHRU – Kerja pembersihan tumpahan minyak di kawasan perairan Terminal Pelabuhan Tanjung Langsat (TLPT), Johor kini berada di peringkat akhir, manakala siasatan berhubung insiden itu juga hampir selesai.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, tindakan pantas Unit Intervensi Bersepadu (UIB) berjaya mengawal keadaan dan mencegah pencemaran daripada merebak ke kawasan yang lebih luas.
“Dari segi kerja pembersihan, ia hampir selesai dan kini siasatan juga berada di fasa akhir. Kita sedang menunggu keputusan siasatan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk tindakan penguatkuasaan seterusnya.
"Punca tumpahan minyak telah dikenal pasti dan semua kerosakan telah dibaiki. Dalam satu atau dua hari lagi, kerja pembersihan dijangka selesai sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Duit Raya kepada Kakitangan Kesihatan di Hospital Sultan Ismail, di sini pada Selasa.

Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 1.6 meter padu tumpahan minyak telah dikesan di TLPT, Pasir Gudang, pada Khamis lalu.
Ketua Pengarah JAS, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaafar berkata, tumpahan minyak itu berpunca daripada kebocoran paip yang menyalurkan minyak Very Low Sulfur Fuel Oil (VLSFO) dari tangki terminal ke kapal MT EPITOME di Jeti TLPT, Pasir Gudang.
Mengulas lanjut, Tian Soon berkata, tumpahan minyak tersebut turut dikesan memasuki perairan Singapura, namun negara jiran itu telah mengambil tindakan segera.
“Singapura ada memaklumkan kepada kita. Memang ada sedikit kesan di kawasan mereka, tetapi mereka juga telah mengambil tindakan segera.
"Malaysia pula mempunyai prosedur operasi standard (SOP) tersendiri termasuk pemasangan penghadang minyak di perairan bagi mengelakkan ia mengalir ke negara jiran,” ujarnya.
Tambah beliau, hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura amat erat dalam isu alam sekitar dan maklumat insiden seperti itu sentiasa dikongsi secara bersama.
Mengulas kesan insiden, Tian Soon memaklumkan bahawa tumpahan itu tidak bersifat besar dan berjaya dikawal awal hasil tindakan pantas pihak berkaitan.
“Ia bukan insiden besar. Kita kesan awal dan hentikan awal. Sebab itu kita sempat minimakan keadaan. Minyak hanya berada di permukaan air dan tindakan pembersihan dijalankan segera oleh pemilik kapal yang bertanggungjawab.
"Pada masa sama, tiada laporan diterima berhubung pencemaran di kawasan perairan berhampiran selain kawasan yang terjejas," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


