Lelaki Myanmar lemas ketika cari kerang

PEKAN - Kegembiraan lima sekawan mencari kerang di Pantai Tanjung Selangor, Peramu di sini bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka ditemukan lemas, petang Isnin.
Mangsa, Muhamad Arif Mohd Samsu, warga Myanmar berusia lingkungan 20-an, dilaporkan hilang sekitar jam 2.27 petang selepas rakan-rakannya menyedari dia tidak kelihatan di kawasan tersebut.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Peramu segera bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan berhubung insiden itu.
"Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Pekan yang terdiri daripada enam anggota turut dikerahkan bagi membantu pencarian.

"Mangsa akhirnya ditemukan kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang oleh pasukan bomba dan polis yang menjalankan pencarian di kawasan pantai pada jam 4.15 petang," katanya pada Isnin.
Beliau memaklumkan, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, operasi pencarian melibatkan lima anggota dari BBP Peramu dengan sebuah jentera FRT serta enam anggota PPDA BBP Pekan yang menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

