Beraya dengan kereta api mini, pengalaman unik di rumah pak cik

Kereta api mini yang beroperasi menggunakan bateri atau elektrik itu boleh memuatkan sehingga lima penumpang dalam satu perjalanan.
Kereta api mini yang beroperasi menggunakan bateri atau elektrik itu boleh memuatkan sehingga lima penumpang dalam satu perjalanan.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pemuda tidak menyangka pengalaman beraya tahun ini menjadi lebih istimewa apabila berpeluang menaiki ‘kereta api’ mini yang dibina di rumah bapa saudaranya.

Pekerja swasta, Muhamad Fazrin Ismail, 27, berkata, kereta api mini yang mengelilingi rumah pak ciknya di Kampung Melaka Pindah, Alor Gajah, Melaka, itu pernah tular di media sosial pada tahun lepas.

Muhamad Fazrin sempat merekod video kenang-kenangan di atas kereta api mini tersebut.
Muhamad Fazrin sempat merekod video kenang-kenangan di atas kereta api mini tersebut.

"Tahun lepas dah pernah viral, tapi saya sendiri tak sempat mencuba. Jadi, tahun ini saya ambil peluang untuk naik bersama ahli keluarga termasuk sepupu saya.

"Jadi, pada hari raya pertama hari itu, akhirnya saya sempat naik. Bagi saya, ia satu pengalaman yang menarik sebab selain berkumpul ramai-ramai, kami dapat menikmati suasana hari raya dengan cara yang unik dan lain daripada yang lain," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Muhamad Fazrin yang berasal dari Kuala Lumpur, kereta api mini yang beroperasi menggunakan bateri atau elektrik itu boleh memuatkan sehingga lima penumpang dalam satu perjalanan.

Jelasnya, walaupun kereta api tersebut berukuran mini tetapi ia cukup selesa dengan tempat duduk berkusyen.

“Untuk pengetahuan, kereta api mini dikawal oleh pak cik saya yang akan duduk di hadapan kereta api, kemudian, ia akan bergerak mengelilingi kawasan rumah, lebih kurang 200 meter (m), dengan tempoh perjalanan sekitar 30 hingga 40 saat sahaja.

Artikel Berkaitan:

“Bila naik kereta api itu, kami dapat lihat di belakang rumah pak cik ada zoo mini, jadi memang seronok.

“Saya dapat tahu juga dahulu pak cik pernah buka untuk orang lain rasai pengalaman itu, sekarang saya tak pasti...tetapi untuk raya kali ini, cuma keluarga sahaja,” ujarnya.

Kereta api mini dengan tempat duduk selesa berkusyen.
Kereta api mini dengan tempat duduk selesa berkusyen.

Dalam pada itu, tambah Muhamad Fazrin, kerana terlalu teruja, kumpulannya menjadi satu-satunya yang terjatuh ketika menaiki kereta api mini tersebut.

“Mula-mula kami bagi kanak-kanak naik dahulu, kemudian baru yang dewasa pula...nak dijadikan cerita kumpulan saya, bila naik kereta api itu terus terbalik, mungkin sebab kami terlalu seronok lebih daripada kanak-kanak.

"Pak cik pernah cakap, orang dewasa memang selalu jatuh. Budak-budak tak pernah jatuh. Kami yang terlebih gembira, ada pula yang rekod video, mungkin sebab itu kami jatuh,” katanya berseloroh.

Tambah Muhamad Fazrin, kegembiraan yang dirasainya itu adalah sesuatu yang tidak boleh dia dapat di tempat lain.

Muhamad Fazrin
Muhamad Fazrin

“Seronok sangat, sebab ia sesuatu yang lain daripada yang lain dan tak semua tempat ada benda ini.

"Yang penting, dekat mana kita berada, pastikan kebahagiaan itu kita yang wujudkan... sebab itulah yang wujudkan kenangan manis," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!