8 maut hidu gas beracun dalam perigi berusia 150 tahun

BHOPAL-INDIA – Lapan orang penduduk kampung maut selepas dipercayai menghidu gas beracun ketika membersihkan sebuah perigi lama di Kampung Kondawat, Madhya Pradesh, pada Khamis.
Kejadian tragis itu berlaku ketika penduduk sedang membuat persiapan bagi upacara perendaman berhala sempena sambutan perayaan Gangaur.
Lima orang penduduk pada awalnya turun ke dalam perigi persendirian berusia 150 tahun itu bagi membersihkan kelodak yang terkumpul. Namun, mereka dilaporkan mula tenggelam dalam lumpur tebal di dasar perigi.
Melihat keadaan tersebut, tiga lagi penduduk cuba membantu namun turut terperangkap akibat terhidu gas beracun yang memenuhi ruang perigi.
Operasi menyelamat yang dijalankan oleh pentadbiran daerah bersama pasukan polis dan Pasukan Tindak Balas Bencana Negeri (SDRF) mengambil masa empat jam. Kesemua mayat mangsa akhirnya berjaya dikeluarkan.
Ketua Menteri Madhya Pradesh, Mohan Yadav, menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mengumumkan bantuan segera sebanyak 400,000 rupee (kira-kira RM22,500) kepada setiap keluarga yang terlibat.
Beliau turut memberi jaminan bahawa siasatan menyeluruh akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Sementara itu, penduduk kampung yang masih terkejut dan bersedih dengan tragedi tersebut memutuskan untuk menutup terus perigi berkenaan bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.
Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai maut akibat lemas dan sesak nafas selepas terdedah kepada gas toksik yang terperangkap dalam perigi berkenaan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

