Memastikan derma tidak disalahgunakan

Rakyat Malaysia sememangnya terkenal dengan sikap pemurah dan prihatin. Tidak kira dalam apa jua keadaan, semangat tolong-menolong sentiasa menjadi pegangan utama masyarakat kita.
Namun, bukan sekali dua juga kita terbaca laporan wujud pihak-pihak tertentu yang tanpa segan silu mengambil kesempatan di atas kemurahan hati rakyat Malaysia.
Ya, isu kutipan derma secara tidak telus ini bukanlah perkara baharu. Sayang sekali apabila kerja-kerja baik begini dicemari perbuatan tidak bertanggungjawab individu atau kumpulan tertentu yang ‘menunggang’ kesengsaraan orang lain demi kantung sendiri.
Baru-baru ini, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah dipersoalkan mengenai kutipan derma mereka apabila seorang aktivis menyerahkan dokumen kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disiasat. Kes ini membangkitkan persoalan tentang sejauh mana ketelusan dalam pengurusan dana oleh sesetengah badan amal.
Sebenarnya, dalam skala kecil pun, kes seperti ini sudah berlaku. Ada individu dan organisasi yang mengutip sumbangan atas nama kebajikan, tetapi dana itu didakwa tidak sampai kepada golongan memerlukan.
Keadaan ini bukan sahaja mencemarkan niat murni orang ramai yang mahu membantu, tetapi juga menjejaskan kepercayaan terhadap badan amal yang benar-benar berusaha meringankan beban masyarakat.
Sehubungan itu, perkara paling pokok adalah memastikan pengurusan derma ini melalui sistem yang telus dan efisien dengan setiap sen sumbangan direkodkan dengan jelas dan boleh diaudit.
Pengawasan oleh pihak bertanggungjawab perlu dipertingkatkan daripada pelbagai aspek bagi memastikan tiada unsur penyelewengan dalam kutipan derma yang dijalankan.
Bermurah hati sememangnya sifat terpuji, tetapi sebagai penyumbang tidak salah jika kita berhati-hati dan periksa dahulu sebelum menyumbang. Pastikan sumbangan disalurkan kepada organisasi yang sah, berdaftar dan mempunyai rekod ketelusan yang baik.
Jangan mudah terpedaya dengan dakwaan tanpa bukti atau rayuan emosi yang tidak disertakan dengan maklumat yang kukuh.
Sumbangan yang ikhlas seharusnya sampai ke tangan yang benar-benar memerlukan, bukan menjadi keuntungan kepada individu atau kumpulan tertentu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
