Kebakaran saluran paip gas: JPJ terima 82 permohonan pencetakan semula dokumen

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menerima 82 permohonan daripada mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights bagi pencetakan semula dokumen penting mereka secara percuma.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, permohonan itu diterima melalui kaunter bergerak yang dibuka di perkarangan Masjid Putra Heights bermula pagi Khamis.
"Sehingga jam 4.30 petang, kita telah menerima 13 permohonan cukai jalan, 53 permohonan sijil pemilikan kenderaan, 13 permohonan lesen memandu kompeten (CDL) dan tiga permohonan lesen memandu barang (GDL)," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Aedy Fadly berkata, pihaknya turut menerima lima permohonan untuk memperbaharui CDL.
"Semua permohonan ini diproses tanpa dikenakan sebarang bayaran kecuali bagi lima individu yang membuat pembaharuan CDL," katanya.
Terdahulu Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, JPJ membuka kaunter bergerak di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights, dekat sini bermula Khamis dan Jumaat bagi membolehkan mangsa menggantikan dokumen pengangkutan yang musnah atau hilang akibat insiden tersebut tanpa memerlukan laporan polis dan proses penggantian dokumen akan disiapkan dengan segera.
Beliau berkata mangsa hanya perlu memberikan nama dan nombor kad pengenalan untuk mencetak semula dokumen tersebut secara percuma.
Antara dokumen pengangkutan yang boleh diganti secara percuma adalah Lesen Memandu, Lesen Kenderaan Motor dan Sijil Pemilikan Kenderaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
