Perutusan Aidilfitri: PM tekankan kekalkan harmoni, perkukuh perpaduan

Anwar
Anwar
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepentingan mengangkat martabat insan dan memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

Menurut beliau dalam perutusan Aidilfitri pada Ahad, konsep ‘karamah insaniah’, iaitu kemuliaan insan sebagai makhluk yang luhur dan merdeka, perlu terus menjadi pegangan dalam kehidupan bermasyarakat.

“Alhamdulillah, telah sama-sama melalui Ramadan al-Mubarak dengan ucapan ‘kullu aam wa antum bikhair’ menjalani madrasah ruhiyyah atau latihan tarbiyyah Ramadan sebagai wahana perjalanan kerohanian untuk mendapat keredhaan ALLAH SWT, la allakum tattaqun.

“Mudah-mudahan dengan pembentukan nilai baru, memberikan penegasan tentang disiplin, integriti dan juga kesihatan yang lebih baik.

“Di samping itu, terus lebih prihatin kepada nasib jiran, kariah kita dan masyarakat yang tersisih serta terbiar termasuklah apa yang berlaku bencana malapetaka kezaliman di Gaza, Palestin,” katanya pada Ahad.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut berkata, sepanjang Ramadan, beliau telah menyertai Program Ihya Ramadan di beberapa kementerian dan negeri seperti Selising, Tawau serta Chukai bagi mendengar keluhan atau keperluan rakyat secara langsung.

“Keistimewaannya ialah menyaksikan sendiri di peringkat akar umbi, mendengar denyut nadi rakyat, keluhan mereka dan usulan mereka serta melihat keberkesanan kaedah pelaksanaan yang dijalankan oleh Kerajaan Persekutuan, Negeri dan Perbandaran atau Kerajaan Tempatan.

“Kita terus menjana pertumbuhan ekonomi, tetapi saya tegaskan bahawa kekuatannya akhirnya adalah kejayaan kita mengangkat taraf kehidupan rakyat terbanyak,” ujarnya.

Dalam kesempatan itu, Anwar turut berharap Aidilfitri kali ini disambut dengan kesedaran sedemikian, mengangkat martabat sebagai manusia lebih berwibawa, berakhlak mulia dan menjalankan tugas dengan penuh amanah.

Artikel Berkaitan:

“Salam kepada semua, kepada keluarga, sanak saudara, bermaaf-maafan termasuk dari saya dengan kekurangannya, untuk memohon kemaafan kepada rakyat dan insya-ALLAH akan melakukan sebaiknya islah untuk kebajikan semua,” kata Anwar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!