Anggota tentera tumbuk pemandu wanita sudah ditahan

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Seorang anggota tentera yang bertindak menumbuk seorang pemandu wanita dalam kejadian di Jalan Persiaran Senawang 4 pada Sabtu, telah ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, lelaki berusia 35 tahun itu ditahan ketika dipanggil ke balai untuk memberi keterangan.

"Tangkapan telah dibuat dan siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 323 kerana menggunakan kekerasan terhadap mangsa berusia 28 tahun hingga menyebabkan kecederaan lebam di bahagian rusuk kanan dan bengkak di belakang kepala.

"Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kerosakan kepada kereta mangsa," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Pada Sabtu, tular di aplikasi TikTok memaparkan lelaki berkenaan bertindak menyerang mangsa selepas berang anaknya dilanggar kereta dipandu wanita itu.

Lelaki itu dikatakan menumbuk kepala mangsa sebanyak dua kali selain adik mangsa turut mendakwa kakaknya juga ditendang di bahagian perut.

Mohamad Hatta berkata, kejadian itu berlaku sekitar jam 10.15 malam membabitkan Perodua Axia dengan dua pejalan kaki iaitu seorang wanita berusia 34 tahun dan anak perempuannya berusia 7 tahun.

"Siasatan awal mendapati pemandu Perodua Axia itu dalam perjalanan dari Mydin Senawang menghala ke Senawang dan apabila sampai di tempat kejadian, secara tiba-tiba dua pejalan kaki itu melintas jalan.

Artikel Berkaitan:

"Akibat jarak yang sudah dekat, pemandu Perodua Axia tidak sempat mengelak lalu telah melanggar pejalan kaki tersebut," ujar beliau.

Beliau berkata, akibat daripada kemalangan itu, pejalan kaki bersama anak perempuannya mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk rawatan lanjut.

Ujarnya, polis turut menjalankan siasatan di bawah kaedah 10, kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959.

"Pihak polis menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi tentang kejadian yang boleh mencetuskan ketegangan dan patuh kepada undang-undang.

"Orang awam juga diminta agar lebih berhati-hati terutama ketika melintas jalan dan ketika melalui tempat-tempat sesak untuk mengelakkan perkara-perkara tidak diingini berlaku," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!