14 lelaki direman dua hari main judi di bengkel kereta

GEORGE TOWN – Polis menahan 14 lelaki warga tempatan yang dipercayai terlibat dalam aktiviti perjudian di sebuah bengkel kereta di Jalan Sungai Pinang, awal pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut kira-kira jam 2.30 pagi.
“Hasil serbuan, 14 lelaki berusia antara 27 hingga 57 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan perjudian.
"Polis turut merampas sebuah meja, 52 keping daun terup, tiga unit walkie-talkie serta wang tunai berjumlah RM4,288,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Kesemua suspek direman selama dua hari bagi membantu siasatan lanjut,” tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

