Ketupat daun tebu hidangan istimewa Aidilfitri

Haifah menunjukkan ketupat daun tebu yang menjadi menu utama keluarga pada pagi Hari Raya Aidilfitri.
Haifah menunjukkan ketupat daun tebu yang menjadi menu utama keluarga pada pagi Hari Raya Aidilfitri.
A
A
A

KOTA BHARU - Ketupat daun tebu mungkin tidak popular sebagai menu utama Hari Raya Aidilfitri di Kelantan, namun tetap menjadi hidangan istimewa sebuah keluarga di Kampung Jal, Ketereh di sini.

Haifah Arshad, 52, berkata, menu itu menjadi hidangan utama keluarganya sejak empat tahun lalu selepas diperkenalkan oleh ibu mentua, Syed Kalsom Syed Noor, 74.

Menurut suri rumah itu, semuanya bermula selepas ibu mentuanya itu mengambil daun tebu untuk membuat ketupat tambahan apabila daun palas tidak mencukupi.

"Selepas menikmatinya, saya dapati ketupat daun tebu lebih enak dan aromanya juga wangi berbanding menggunakan daun palas," katanya ketika ditemui di rumahnya pada Jumaat.

Haifah memberitahu, membuat ketupat berkenaan lebih mudah kerana saiznya besar dan hanya diikat menggunakan tali rafia.

Daun ketupat dipotong pendek untuk dijadikan pelapik ketika merebus ketupat daun tebu.
Daun ketupat dipotong pendek untuk dijadikan pelapik ketika merebus ketupat daun tebu.

Katanya lagi, kaedah membuat ketupat daun tebu juga tidak sukar dan hampir sama dengan ketupat daun palas.

"Bagaimanapun, sebelum dihidangkan ketupat perlu direbus selama satu jam dan dilapik menggunakan daunnya supaya aromanya lebih wangi," ujarnya.

Jelas Haifah, beras pulut yang direndam selama satu jam perlu dikukus kira-kira setengah jam sehingga naik wap dan digaul sebati bersama santan pekat sebelum dibungkus.

Artikel Berkaitan:

"Mungkin ramai yang bimbang dengan miang di daun tetapi kita hanya perlu menggunakan kain untuk membuang miangnya dan selepas itu selamat digunakan," katanya.

Menurutnya lagi, ketupat daun tebu lebih enak dimakan bersama manisan tebu yang turut diproses sendiri.

"Biasanya saya mengambil masa lebih tiga jam memasak air tebu untuk dijadikan manisan," katanya.

Bagi berkongsi keenakan menu berkenaan, Haifa mula menerima tempahan daripada rakan-rakannya tahun ini.

"Bagaimanapun saya hanya menerima tempahan kira-kira 800 biji sahaja kerana tidak ada pembantu dan kekangan masa berikutan sibuk menjual air tebu," katanya.

Ketupat daun tebu dijual pada harga RM2 sebiji manakala manisannya pada harga 13 untuk 335 gram.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!