KPDN santuni bekas pengamal media Kelantan

KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menyantuni lapan pengamal media Kelantan termasuk bekas Penyunting Eksekutif Sinar Harian, Ismail Mohamad, 57.
Kesemua mereka menerima sumbangan wang tunai dan barangan keperluan asas yang disampaikan oleh Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail dan Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) Yatimin Abdullah.
Ismail ketika ditemui bersyukur kerana jasa mereka masih dikenang walaupun tidak lagi aktif sebagai penulis berita.
"Alhamdulillah, kami tetap dihargai kerana KPDN dan Kemudi sudi bertanya khabar dan menghulurkan sumbangan walaupun sudah bersara," katanya.
Ismail bertugas bersama Sinar Harian selama dua tahun bermula 2006.
Sementara itu Azman berkata, sumbangan berkenaan juga bersempena Aidilfitri yang dijangka disambut pada Isnin.
"Kita berterima kasih kepada mereka kerana melalui berita yang disampaikan dapat memberi maklumat kepada masyarakat," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berharap kesemua mereka dapat membantu golongan muda menulis dengan baik berdasarkan fakta melalui pengalaman yang ada.
Pengamal media lain yang turut menerima sumbangan ialah Ramli Hussin, 63; Wan Muhamad Wan Adam, 76; Sazuki Embong, 65; Hapizah Aziz, 72; Zuharman Mohd Noor, 57; Suraya Hulaimi Sulaiman, 53 dan Allahyarham Sulaiman Jaafar yang diwakilkan kepada anaknya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
