Zamri Vinoth ditahan berkaitan isu kuil

KUALA LUMPUR - Pendakwah, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu ditahan di Kangar, Perlis, pada Khamis kerana disyaki menghina agama dan menggugat ketenteraman awam melalui satu posting yang dimuat naik di Facebook.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang penganggur berusia 62 tahun pada jam 6.30 petang Rabu.
"Pengadu mendakwa terbaca satu komen di media sosial atas nama Zamri Vinoth mengenai hasil rundingan berkenaan penempatan semula tapak sebuah kuil di Jalan Munshi Abdullah, di sini, yang berunsur hasutan dan mencemarkan agama Hindu.
“Kita telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Razarudin berkata, pihaknya turut merampas sebuah telefon bimbit jenis Vivo bagi membantu siasatan.
"Tindakan lanjut turut dijalankan oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berkaitan Facebook milik Zamri Vinoth.
“Suspek berusia 41 tahun itu akan dibawa ke lokap Ibu pejabat Polis Daerah Padang Besar untuk dibawa reman di Mahkamah Kangar esok (Jumaat)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
